Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON, hari ini melancarkan hab pengecasan DC pertama yang terletak di Bangunan Pentadbiran PROTON Tanjung Malim.
Kemudahan itu dilengkapi dua pengecas DC dan empat petak pengecasan dengan kapasiti keseluruhan 120kW, mampu mengecas sehingga empat kenderaan elektrik (EV) serentak.
Tidak seperti sebelum ini yang diuruskan penyedia pihak ketiga, kemudahan ini adalah infrastruktur pengecasan kendalian penuh PRO-NET, sekali gus menunjukkan keupayaan PROTON mengurus rangkaiannya sendiri dengan kawalan lebih baik dari segi harga, akses dan pengalaman pengguna.

Hab ini juga terbuka untuk semua pemilik EV tanpa mengira jenama, selepas mendapat kelulusan Lesen ST EVCS. Langkah inklusif ini bertujuan menggalakkan penggunaan EV dan menyokong pembangunan rangkaian pengecasan di Malaysia.
Hab ini turut memperkenalkan konsep pengecasan tanpa aplikasi, di mana pengguna hanya perlu imbas kod QR untuk mengakses laman web dan membuat pembayaran. Pemilik Proton e.MAS dan Smart masih boleh menggunakan aplikasi e.MAS serta Hello smart yang telah disepadukan.
Kadar pengecasan ditetapkan pada RM0.80/kWh, antara yang terendah di Malaysia. Sempena pelancaran, pengguna menikmati diskaun 50% sepanjang Oktober 2025, menjadikan caj hanya RM0.40/kWh.

Pelancaran ini sekali lagi mengukuhkan peranan Tanjung Malim sebagai pusat elektrifikasi PROTON. Dengan kilang pengeluaran EV baharu yang bakal beroperasi tidak lama lagi, kemudahan ini bukan sahaja akan memasang EV pertama keluaran tempatan, tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan, melatih bakat tempatan dan menyokong pertumbuhan ekosistem EV negara.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?