Mercedes akhirnya menamatkan spekulasi panjang apabila mengesahkan bahawa George Russell dan Kimi Antonelli akan kekal sebagai barisan pelumba rasmi pasukan bagi musim baharu Formula Satu (F1) 2026.
Pengumuman itu tidak mengejutkan ramai pemerhati kerana Prinsipal Pasukan Mercedes, Toto Wolff, sebelum ini telah memberi bayangan bahawa pasukan berhasrat mengekalkan kedua-dua pemandu walaupun rundingan kontrak belum dimuktamadkan ketika itu.
“Pengesahan barisan pemandu kami hanyalah soal masa, bukan persoalan sama ada akan berlaku atau tidak,” kata Wolff dalam kenyataan rasmi pasukan.
“Kami mahu memastikan setiap perbincangan dijalankan dengan teliti supaya semua pihak berpuas hati. Kini semuanya selesai dan kami gembira dapat meneruskan perjalanan bersama George dan Kimi.”
Tambah beliau, tumpuan pasukan kini terarah kepada baki enam perlumbaan terakhir musim ini, dengan sasaran mengekalkan kedudukan naib juara konstruktor sebelum memberi fokus kepada musim 2026 yang bakal memperkenalkan era baharu F1 dengan peraturan enjin serba baharu.
Walaupun butiran kontrak tidak didedahkan, pengesahan ini sekali gus menepis khabar angin mengenai minat Mercedes terhadap juara dunia empat kali, Max Verstappen, bagi musim 2027 dan seterusnya.
Perubahan besar dijangka menggoncang susunan kuasa dalam F1 musim depan apabila kitaran baharu enjin diperkenalkan, sesuatu yang mungkin mengembalikan kelebihan kepada Mercedes, sebagaimana kejayaan mereka mendominasi lapan kejuaraan berturut-turut selepas perubahan besar pada 2014.
Russell, yang kini berusia 27 tahun, telah memenangi lima perlumbaan termasuk kejayaan terbaharu di Grand Prix Singapura bulan ini. Musim 2026 akan menjadi musim kelima bersama Mercedes dan musim kelapannya dalam F1 sejak debut bersama Williams.
“Saya sangat berbangga dapat meneruskan perjalanan ini bersama Mercedes. Tahun depan genap sepuluh tahun sejak saya menandatangani kontrak pertama bersama pasukan pada 2017,” kata Russell.
“Dengan perubahan besar peraturan tahun depan, kami semua bersemangat untuk memastikan ia menjadi kejayaan dan bagi saya, meneruskan momentum daripada musim terbaik dalam karier saya setakat ini.”
Sementara itu, pelumba muda Itali berusia 19 tahun, Kimi Antonelli, mengakui musim sulungnya di F1 banyak mengajarnya aspek teknikal dan mental, selepas berjaya meraih podium ketiga di Grand Prix Kanada.
“Saya belajar banyak perkara sepanjang musim pertama ini, baik dari detik cemerlang mahupun saat sukar. Semua pengalaman itu menjadikan saya lebih kuat, bukan saja sebagai pemandu tetapi juga sebagai rakan sepasukan,” katanya.
Menjelang Grand Prix Amerika Syarikat di Austin, Texas, Mercedes kini berada di tangga kedua dalam kejuaraan konstruktor, di belakang pasukan McLaren yang menggunakan enjin Mercedes dan telahpun mengesahkan gelaran juara konstruktor buat tahun kedua berturut-turut. – Reuters
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?