Hyundai Motor Malaysia (HMY) secara rasmi mengumumkan pelancaran jualan bagi model pemasangan tempatan pertama mereka, Hyundai Staria, sekali gus menandakan satu detik penting dalam perjalanan jenama itu di Malaysia.
Selepas pelancaran rasminya pada Julai lalu, pelanggan di seluruh negara kini boleh memiliki Staria yang dipasang secara tempatan bersama rakan kongsi pemasangan Hyundai, Inokom Corporation Sdn Bhd di fasiliti Sime Motors di Kulim, Kedah.
Presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee berkata, pengeluaran tempatan Staria bukan sekadar kejayaan dalam aspek produksi, tetapi mencerminkan keyakinan Hyundai terhadap Malaysia sebagai pasaran utama dan bakal hab pemasangan penting pada masa depan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Inokom, Sui Keng Huat berkata, setiap kenderaan yang dihasilkan di fasiliti tersebut dipasang dengan penuh ketelitian dan mematuhi standard global Hyundai sepenuhnya, hasil kerja 100% tenaga tempatan.
Pelaburan HMY dalam kemudahan pemasangan tempatan turut memperkukuh rantaian bekalan dan menyokong pertumbuhan industri automotif negara. Langkah ini juga menegaskan peranan Hyundai bukan sekadar sebagai penyedia mobiliti, tetapi sebagai rakan jangka panjang dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
Menariknya, Staria pemasangan tempatan mengekalkan spesifikasi dan harga asalnya, dengan pilihan warna baharu seperti Jet Black, Snow Flake White Pearl, Meteor Grey dan Stormy Sea. Dengan harga bermula RM179,888, model ini menawarkan gabungan keselesaan premium, ciri keselamatan canggih serta reka bentuk moden yang sesuai untuk gaya hidup masa kini.

Pemilikan Staria turut dilengkapi jaminan menyeluruh termasuk waranti selama 8 tahun/160,000 km dan penyelenggaraan percuma sehingga 8 kali servis. HMY turut menawarkan kempen akhir tahun yang memberi nilai tambahan kepada pelanggan seperti servis percuma, ganjaran tunai sehingga RM6,000, rebat eksklusif RM5,000 untuk varian terpilih, baucar gaya hidup serta pakej aksesori percuma.
Dengan Staria kini dipasang dan dijual di Malaysia, Hyundai mengukuhkan kedudukannya bukan hanya sebagai pembuat kenderaan global, tetapi juga sebagai rakan strategik ekonomi negara.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?