Hyundai Staria Facelift 2025 Dilancarkan di Malaysia – Pilihan 7 atau 10 Tempat Duduk, Harga Bermula RM180k

Hyundai Staria Facelift 2025 Dilancarkan di Malaysia – Pilihan 7 atau 10 Tempat Duduk, Harga Bermula RM180k

Hyundai Motor Malaysia (HMY) turut melancarkan model ketiga mereka, Staria Facelift 2025 ke dalam pasaran Malaysia. 4 varian ditawarkan dengan harga jualan bermula RM179,888 untuk varian Style, RM196,888 untuk varian Prime, RM209,888 untuk varian Prestige dan yang terbaru, RM267,888 untuk varian Prestige bagi pilihan 7-tempat duduk.

Model ini berukuran 5,253 mm panjang, 1,997 mm lebar, 1,990 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,273 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 431 liter, cukup luas walaupun untuk pilihan 7-tempat duduk.

Spesifikasi enjin masih kekal sama iaitu enjin diesel 2.2 liter turbocas empat silinder yang mampu menjana sebanyak 177 PS dan 431 Nm tork, digandingkan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan roda hadapan.

Tidak banyak perubahan dari model sebelum ini, namun beberapa peningkatan dapat dilihat seperti logo Hyundai versi baharu berwarna aluminium dan kunci berbentuk logo H, yang kedua-duanya diambil dari Ioniq 6.

Bahagian dalam juga kini menerima wiper automatik dan port USB-C, manakala pintu gelangsar automatik kini dibuka lebih pantas apabila mengesan kehadiran pemegang kunci.

Ciri standard seperti model sebelum ini termasuk balutan kulit Nappa, lampu utama LED bersama jalur DRL hadapan merentangi keseluruhan gril, rim aloi dua tona bersaiz 18-inci, dua sunroof, sistem pendingin hawa dua zon untuk penumpang hadapan dan belakang, serta pintu but belakang dengan fungsi buka tanpa sentuhan.

Ciri keselamatan kini menerima sistem bantuan pemandu SmartSense yang merangkumi brek kecemasan automatik, kawalan kelajuan adaptif, bantuan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan belakang dan sistem pengesan keletihan pemandu. Enam beg udara diberikan secara standard, namun titik ISOFIX hanya ditawarkan pada barisan kedua.

Untuk pilihan 10-tempat duduk, 3 pilihan warna bakal ditawarkan iaitu Abyss Black Pearl, Creamy White Pearl dan Ecotronic Gray Pearl manakala pilihan 7-tempat duduk hanya menerima 2 pilihan warna iaitu Abyss Black Pearl dan Creamy White.

Jaminan 8 tahun/160,000 km diberikan untuk kenderaan dan istimewa untuk 100 pelanggan pertama, 8 kali servis percuma akan diberikan. Hanya model ini yang sudah dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Inokom dan dua lagi model akan menyusul kemudian pada tahun ini.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD