Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kini sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti langkah baharu untuk terus menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) selepas pengecualian duti eksais bagi model pemasangan penuh (CBU) ditamatkan mulai tahun 2026.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata setakat ini, perbincangan masih di peringkat awal dan belum ada cadangan khusus mengenai bentuk insentif alternatif yang akan diperkenalkan.
“Perbincangan dengan MOF sedang berjalan, namun tiada sebarang cadangan rasmi dikemukakan buat masa ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sela-sela Mesyuarat ke-10 Rangkaian Amalan Peraturan Baik (GRP) Asean-OECD.
Apabila ditanya mengenai unjuran hasil kutipan duti eksais yang dijangka meningkat sebanyak 2.3 peratus kepada RM12.79 bilion pada 2026, berbanding RM12.51 bilion tahun ini, Tengku Zafrul berkata perkara itu tertakluk kepada MOF untuk diperincikan.
Menurut laporan Fiscal Outlook and Federal Government Revenue Estimates oleh MOF, tamatnya tempoh pengecualian cukai bagi EV CBU dijangka menyumbang kepada peningkatan hasil duti eksais. Peningkatan itu juga disokong oleh pengeluaran kenderaan baharu, pelancaran model terkini dan aktiviti promosi yang lebih agresif.
Malaysia sebelum ini menetapkan sasaran penggunaan EV yang tinggi iaitu 20% daripada jualan kenderaan baharu menjelang 2030, meningkat kepada 50% pada 2040, dan mencapai 80% menjelang 2050, sebagai sebahagian daripada usaha menuju mobiliti hijau dan pengurangan karbon negara. – The Edge Malaysia
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?