passionately driven

Polis Siasat Kemungkinan ‘Orang Dalam’ Terlibat dalam Kecurian Kabel Projek ECRL

Polis Siasat Kemungkinan ‘Orang Dalam’ Terlibat dalam Kecurian Kabel Projek ECRL

Pihak berkuasa kini tidak menolak kemungkinan wujudnya pembabitan ‘orang dalam’ dalam siri kecurian kabel dan komponen penting yang menjejaskan kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan dijalankan secara menyeluruh memandangkan kes kecurian terus berlaku walaupun beberapa tangkapan sudah dibuat sebelum ini.

“Siasatan dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk kemungkinan terdapat individu dalaman yang menyalurkan maklumat atau bekerjasama dengan kumpulan pencuri. Pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menangani insiden kecurian di sepanjang jajaran projek ECRL,” katanya ketika dihubungi.

Setakat ini, seramai 10 individu sudah ditahan dan didakwa di mahkamah, namun polis masih menyiasat sama ada kes terbaharu mempunyai kaitan dengan mereka yang ditangkap sebelum ini.

Sebelum ini, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) melaporkan sebanyak 24 tapak projek di Pahang menjadi sasaran pencuri antara Jun hingga 10 Oktober lalu, dengan kerugian mencecah jutaan ringgit.

Susulan kejadian itu, Polis Pahang menubuhkan pasukan petugas khas selepas Malaysia Rail Link (MRL) menyuarakan kebimbangan terhadap kekerapan insiden kecurian kabel di sepanjang laluan projek ECRL merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Projek rel mega sepanjang 665 kilometer itu dijadualkan mula beroperasi pada Januari 2027 dan melibatkan kawasan Bentong, Temerloh, Maran serta Kuantan.

Pada bulan lalu, CCC-ECRL melaporkan kehilangan kabel tembaga sepanjang 1,080 meter, sebelum polis menahan 10 suspek termasuk seorang warga asing dalam siri serbuan di Temerloh dan Bentong, dengan jumlah kerugian dianggarkan lebih RM800,000.

Yahaya berkata, pihak polis akan terus bekerjasama rapat dengan CCC-ECRL bagi mengenal pasti dalang sebenar di sebalik kecurian tersebut dan menamatkan aktiviti berkenaan sepenuhnya.

“Pasukan petugas khas telah mencadangkan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi strategik di sepanjang jajaran rel. Kami juga akan terus memperkukuh langkah keselamatan dan mengekalkan kerjasama sehingga projek ini siap sepenuhnya,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan orang awam bahawa tindakan memotong kabel elektrik boleh menyebabkan renjatan maut, selain menasihatkan pemilik kedai besi buruk agar segera melaporkan kepada polis jika didatangi individu mencurigakan yang cuba menjual kabel tembaga atau bahan kitar semula yang mencurigakan.

Menurut sumber, polis kini sedang menyemak latar belakang semua individu yang mempunyai kaitan langsung dengan projek ECRL di kawasan berisiko, termasuk pekerja tapak binaan, kontraktor pihak ketiga dan syarikat keselamatan.

“Dalam beberapa kes, pencuri dilihat cukup arif dengan susun atur kawasan termasuk laluan pagar dan pintu masuk. Ini menunjukkan kemungkinan maklumat dalaman digunakan. Kami kini mengumpul maklumat risikan untuk menjejak mereka,” katanya. – Berita Harian

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD