passionately driven

Ramai Pemandu Lupa Ambil MyKad Selepas Isi Minyak RON95 Bersubsidi

Ramai Pemandu Lupa Ambil MyKad Selepas Isi Minyak RON95 Bersubsidi

Hampir sebulan selepas pelaksanaan program subsidi petrol Budi Madani RON95 (Budi95), stesen minyak di seluruh negara kini berdepan satu isu baharu di mana ramai pemandu terlupa mengambil semula MyKad mereka selepas mengisi minyak.

Sejak peraturan baharu mewajibkan pengguna menunjukkan MyKad bagi setiap transaksi RON95 bersubsidi, ramai mengakui mereka sering tergesa-gesa meninggalkan kaunter selepas mengisi minyak dan hanya menyedari kemudian bahawa MyKad tertinggal di stesen.

Baru-baru ini, satu hantaran tular di media sosial menunjukkan beberapa keping MyKad disusun rapi di kaunter sebuah stesen minyak, dipercayai milik pelanggan yang terlupa mengambil semula kad pengenalan mereka.

Menurut individu yang memuat naik hantaran tersebut, pekerja stesen berkenaan mengambil inisiatif menyusun kad terbabit bagi memudahkan pemilik datang menuntut semula.

“Sekarang makin ramai yang lupa ambil MyKad lepas isi minyak. Kadang-kadang orang memang kelam kabut, terus jalan,” tulis pengguna itu.

Rata-rata netizen mengakui pernah mengalami situasi sama, manakala sebahagian lain pula mempertahankan sistem Budi95 yang disifatkan penting bagi mengelak penyalahgunaan subsidi oleh warga asing.

“Peraturan ini bagus. Kalau tak guna MyKad, nanti senang orang luar negara ambil kesempatan,” tulis seorang pengguna.

Program subsidi petrol Budi95 dilancarkan pada 30 September lalu, selepas diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September. Ia menyasarkan lebih 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu sah.

Walaupun dasar ini mendapat pujian kerana melindungi sumber negara, isu MyKad tertinggal dan kesesakan di stesen minyak terus menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pengguna. Ramai mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan sistem digital atau kaedah lebih mesra pengguna bagi mengurangkan kesilapan dan memudahkan urusan di masa depan. – WeirdKaya

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD