NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Tak Boleh Nak ‘Relax’ Melaka Sampai Hujung Tahun ini

Tak Boleh Nak ‘Relax’ Melaka Sampai Hujung Tahun ini

Melaka nampaknya tidak akan sunyi hingga hujung tahun ini apabila pelbagai acara dan festival menarik menanti pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menurut Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, kejayaan penganjuran program tahun lalu menjadi dorongan kuat untuk Melaka terus mengekalkan statusnya sebagai destinasi pelancongan utama negara.

“Antara acara besar yang akan diadakan penghujung tahun ini ialah peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0, selain deretan program pelancongan lain yang telah disusun bagi memeriahkan lagi suasana,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada September lalu membuktikan keupayaan Melaka menganjurkan acara bertaraf antarabangsa, sekali gus membuka peluang baharu untuk melonjakkan sektor pelancongan negeri itu.

“Pada 31 Disember nanti, kita akan lancarkan Tahun Melawat Melaka 2.0 dengan pengisian lebih segar, berwarna-warni dan mesra pelancong. Ia juga akan menjadi pemangkin kepada sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya lagi.

Abdul Razak ditemui selepas menyantuni peserta Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 di Dataran Pengkalan Rama, di sini. Turut hadir, Nasrul Ahmad (Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka), Shaharul Azuar Idris (PPSPM) dan Ezlina Alias (JKKN Melaka).

Beliau turut menjemput pelancong luar negara menjadikan Melaka sebagai destinasi wajib dikunjungi pada Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Melaka sudah bersedia sepenuhnya. Dari warisan bersejarah hingga pengalaman moden — semuanya menanti pelancong yang ingin merasai keunikan sebenar negeri ini,” ujarnya.

Sumber: MELAKA HARI INI

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy