Ferrari 296 Speciale — Ada sesuatu yang istimewa tentang bunyi jantung Ferrari — bukan sekadar deruman enjin, tapi degupan emosi yang sukar diterjemah. Setahun yang lalu, saya talah menjejakkan kaki ke Maranello, Italy — jantung dunia Ferrari. Di sana saya diberi peluang memandu Ferrari 296 GTB sejauh lebih 200 kilometer di jalan terbuka Itali, dan berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana setiap enjin V12 dan V6 mereka dilahirkan di kilang legenda tersebut. Kini, hampir setahun selepas pengalaman itu, saya berdiri di bilik pameran Ferrari Kuala Lumpur di Four Seasons Place, Kuala Lumpur menyaksikan kesinambungan evolusi Ferrari 296 GTB, iaitu Ferrari 296 Speciale.

Diperkenalkan secara rasmi oleh Ital Auto Malaysia, model 296 Speciale menjadi tumpuan dalam acara pelancaran tertutup yang dihadiri tetamu eksklusif, pelanggan setia Ferrari dan media pilihan. Dengan pancaran lampu merah Ferrari membaluti ruang pameran, model ini berdiri megah dalam warna Verde British Racing Green — sebuah simbol ketepatan dan keberanian.
Nama “Speciale” bukan sekadar gelaran; ia adalah pengiktirafan terhadap ketulenan falsafah driving emotion Ferrari. Jika 296 GTB dikenali sebagai everyday supercar, maka 296 Speciale adalah versinya yang lebih liar — dicipta khas untuk mereka yang mahu mendengar deruman jiwa kuda besi ini tanpa penapis.

Di bawah penutup belakangnya terletak jantung baharu Ferrari — enjin V6 120° twin-turbo plug-in hybrid — digandingkan dengan motor elektrik tunggal untuk menghasilkan kuasa gabungan 880 cv (~868 hp) dan tork luar biasa.
Transmisi 8-kelajuan DCT dioptimumkan untuk respon yang lebih tajam, manakala sistem aerodinamik aktif dan penggunaan carbon fiber pada bahagian utama menjadikan beratnya berkurang hampir 30 kilogram berbanding 296 GTB standard.
Semuanya digabungkan untuk satu tujuan — menghapuskan jurang antara jalan raya dan litar.
Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 2.8 saat, 0-200 km/j hanya 7.0 saat, dan kelajuan maksimum mencecah 330 km/j. Transmisi 8-kelajuan DCT yang dipertingkat menawarkan tindak balas lebih pantas, manakala penggunaan carbon fiber meluas menjadikan 296 Speciale lebih ringan hampir 30 kg berbanding 296 GTB standard.
Ini bukan sekadar peningkatan kuasa — ia transformasi total — menjadikan setiap selekoh dan lurah terasa seperti sambungan semula jadi

Bahagian luaran 296 Speciale ditala untuk fungsi dan bentuk serentak. Corak strake pada hud depan dan diffuser belakang direka semula untuk aliran udara maksimum, meningkatkan downforce sehingga 20% berbanding GTB.
Masuk ke kabin, Ferrari mengekalkan konsep minimalis sepenuhnya — setiap butang, paparan dan stereng disusun untuk memberi tumpuan penuh kepada pengalaman memandu.
Sama seperti namanya, 296 Speciale memberi penghormatan kepada DNA klasik Ferrari — fokus pada keaslian mekanikal, bukan sekadar teknologi. Ia adalah gabungan terbaik antara kejuruteraan moden dan semangat driver’s car sejati.
Acara tertutup oleh Ital Auto Malaysia ini menampilkan dua varian — 296 Speciale (Coupe) dan 296 Speciale Aperta (convertible) — masing-masing berharga RM 4,288,888 dan RM 4,888,888 termasuk import duties (sebelum opsyen dan registration dan insurans). Model ini mewakili interpretasi paling ekstrem dalam barisan 296, menggabungkan semangat road-legal racer dengan falsafah reka bentuk tulen Ferrari.
Bertemakan keberanian dan kesempurnaan, 296 Speciale direka bagi mereka yang ingin merasai sepenuhnya deruman jiwa Ferrari tanpa batasan.
Bagi saya, 296 Speciale bukan sekadar kereta. Ia adalah kesinambungan pengalaman yang bermula di Maranello — ketika saya melihat sendiri bagaimana enjin Ferrari dibentuk dengan tangan, bolt demi bolt, sebelum ia hidup buat pertama kali.
Melihat model ini kini tiba di Malaysia, ia seolah-olah mengikat dua dunia: impian kecil di Itali, dan realiti besar di tanah air sendiri.
Ferrari memberi saya kepercayaan untuk membawa kisah ini pulang, bukan hanya dalam bentuk kandungan, tetapi sebagai saksi kepada keindahan sebuah pencapaian manusia.
“Dari jalan Maranello hingga ke Kuala Lumpur, saya belajar satu perkara — kelajuan boleh diukur, tetapi semangat tidak pernah ada had.”
— Nazz Abdullah
| Komponen | Butiran |
|---|---|
| Enjin | 2.9 L V6 120° Twin-Turbo Plug-In Hybrid |
| Kuasa Maksimum | 880 cv (~868 hp) |
| 0 – 100 km/j | 2.8 saat |
| 0 – 200 km/j | 7.0 saat |
| Kelajuan Maksimum | 330 km/j |
| Transmisi | 8-Kelajuan Dual Clutch |
| Jarak Elektrik | ± 25 km |
| Berat Bersih | ± 1,470 kg |
| Harga (Malaysia) | RM 4,288,888 (Coupe) / RM 4,888,888 (Aperta) |
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?