Anak syarikat kepada Proton, Proton e.MAS, telah melancarkan secara rasminya kenderaan elektrik (EV) kedua mereka, Proton e.MAS 5, hari ini ke dalam pasaran Malaysia. 2 varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga bermula RM59,800 untuk varian Prime dan RM72,800 untuk varian Premium.

Model ini berukuran 4,135 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,580 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,650 mm. Ruang kabinnya tetap luas, ditambah dengan kapasiti ruang but belakang sehingga 1,320 liter dan ruang simpanan tambahan 70 liter di bahagian hadapan.

Dari segi prestasi, varian Prime didatangkan dengan bateri LFP berkapasiti 30.12 kWh dengan motor elektrik, menjana kuasa sebanyak 58 kW (79 PS) dan 130 Nm tork. Jarak sekitar 225 kilometer boleh dicapai dengan satu cas penuh.
Sementara itu, varian Premium pula menggunakan kapasiti bateri 40.16 kWh, menjana kuasa sebanyak 85 kW (116 PS) dan 150 Nm tork, menawarkan jarak sehingga 325 kilometer. Model ini turut menyokong pengecasan pantas DC, yang mampu mengisi bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam tempoh kira-kira 20 minit.
Dari segi reka bentuk, Proton e.MAS 5 tampil dengan lampu LED yang nipis dan tajam, bersama gril tertutup sepenuhnya yang memberi rupa lebih bersih dan futuristik. Garisan badannya juga lebih lembut dan aerodinamik, sementara rim dengan rekaan unik menambah karakter pada penampilannya.

Dari sudut belakang, nampak kemas dan moden dengan rekaan lampu belakang berbentuk C terbalik yang disambung dengan garisan halus di tengah. Bahagian bawah diserikan dengan kemasan bumper hitam matte dan aksen merah reflektif.

Masuk ke bahagian dalam, e.MAS 5 menawarkan pengalaman moden dengan skrin infotainmen besar bersaiz 14.6 inci, panel meter digital 8.8 inci, dan sistem operasi ATLAS Auto. Sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, capaian 4G & Wi-Fi, serta kawalan suara dua zon menjadikan pengalaman pengguna lebih intuitif dan menyeronokkan.

Keselamatan adalah keutamaan e.MAS 5 dengan kehadiran 6 beg udara, sistem ESC, ABS, dan pelbagai ciri ADAS seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning (FCW), Lane Departure Warning (LDW), Traffic Sign Recognition (TSR), Blind Spot Detection (BSD), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), kamera 360° dengan paparan 3D dan banyak lagi.
5 pilihan warna luaran akan ditawarkan iaitu Marble Cream (Premium), Quartz Rose (Premium), Moonstone White, Graphite Silver dan Slate Grey dengan Alabaster White sebagai warna dalaman. Pemilik Proton e.MAS 5 juga akan menerima pengecas rumah 7kW bernilai RM1,500 dan pakej data internet tanpa had untuk lima-tahun bernilai RM1,800 juga secara percuma.

Selain itu, waranti 6 tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan dan 8 tahun/160,000 km untuk bateri dan komponen akan diberikan kepada semua pemilik Proton e.MAS 5.
Istimewa sempena pelancaran rasminya, pelanggan yang membuat tempahan Proton e.MAS 5 akan mendapat rebat sebanyak RM3,000, menjadikan harga model ini bermula RM56,800 (Prime) sehingga RM69,800 (Premium) sahaja.

Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
5 Kereta Bawah RM100k Yang Paling Sedap Dibawa “Road Trip” Jauh