Proton Saga 2008 Raih Perhatian Global, Pecah 156km/j Guna Pepsi Sebagai Penyejuk Enjin

Proton Saga 2008 Raih Perhatian Global, Pecah 156km/j Guna Pepsi Sebagai Penyejuk Enjin

Nama Proton Saga sekali lagi mencuri tumpuan di peringkat antarabangsa selepas sebuah Proton Saga 2008 mencatat kelajuan maksimum 156km/j di Australia dengan hanya menggunakan minuman ringan Pepsi sebagai penyejuk enjin.

Eksperimen luar biasa itu dilakukan oleh YouTuber Australia, Garbage Time, yang terkenal dengan ujian ekstrem terhadap pelbagai kenderaan. Dalam video terbaharunya, beliau memandu model tersebut, dikenali sebagai Proton Saga S16 di pasaran Australia di The Bend Motorsport Park, juga dikenali sebagai Shell V-Power Motorsport Park.

Sebelum ini, kereta yang sama pernah menjadi bahan eksperimen pelik apabila enjinnya diisi dengan Nutella sebagai ganti minyak pelincir, yang akhirnya “meragut nyawa” enjin berkenaan.

Menurut Garbage Time, “eksperimen Nutella tu memang hancurkan enjin terus,” namun untuk ujian kali ini, beliau memastikan enjin dibersihkan sebelum menggunakan Pepsi sebagai cecair penyejuk semasa pemanduan di litar.

Sepanjang sesi ujian, kereta yang digelar ‘Goober’ itu menunjukkan prestasi luar jangka. Hanya sedikit understeer di selekoh, tetapi masih mampu mencecah 120km/j di satu selekoh, sebelum akhirnya hilang kawalan di penghujung pusingan.

Pada laluan lurus, Goober terlebih dahulu merekodkan 152km/j, sebelum menutup sesi dengan kelajuan tertinggi 156km/j.

Garbage Time sempat memuji ketahanan Saga dengan penuh semangat, “Saya dan Goober betul-betul ‘bonded’ hari tu. Orang asyik puji Toyota, tapi Proton ni lain macam — ada magis dia sendiri.

Video eksperimen tersebut dimuat naik di YouTube bulan lalu dan kini telah ditonton lebih 250,000 kali, dengan ramai netizen luar negara terkejut melihat kereta Malaysia mampu bertahan dalam ujian seaneh itu.

Walaupun pendekatan itu jelas bukan untuk dicontohi, ia sekali lagi membuktikan reputasi Proton Saga sebagai kereta lasak dan tahan lasak walau dalam situasi yang paling pelik sekali pun. – New Straits Times

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD