KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang sekali lagi mencatat kejayaan apabila berjaya mengutip hasil melebihi RM1 bilion bagi tahun 2025, menjadikannya empat tahun berturut-turut negeri itu mencapai jumlah kutipan berbilion ringgit sejak tahun 2022.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata setakat 6 November 2025, jumlah hasil negeri telah pun melepasi sasaran yang ditetapkan.
“Mulai hari ini saya boleh sahkan bahawa hasil kerajaan negeri telah mencapai sasaran yang disasarkan. Saya yakin jumlah ini akan terus meningkat menjelang akhir tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Visit Malaysia 2026 – Pahang First yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah (KOMPSAS) pada Khamis.
Menurut Wan Rosdy, pencapaian ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk penjawat awam, barisan kepimpinan kerajaan negeri, serta rakyat Pahang yang menunaikan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi.
“Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa kesepaduan dan komitmen berterusan semua pihak. Seperti yang saya janjikan, hasil negeri ini akan dikembalikan kepada rakyat,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa sekiranya jumlah kutipan hasil negeri tahun ini mencecah RM1.6 bilion, kerajaan negeri bersedia untuk menyalurkan bantuan khas kewangan bersamaan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri.
“Kalau kita capai jumlah itu, dua bulan gaji akan diberikan. Namun, jika tidak pun, saya tetap jamin bayaran minimum tidak kurang daripada tahun lalu iaitu 1.5 bulan gaji,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?