NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Toyota Perkenal Hilux Serba Baharu – ICE dan BEV, Harga Bermula RM99k hingga RM192k

Toyota Perkenal Hilux Serba Baharu – ICE dan BEV, Harga Bermula RM99k hingga RM192k

Toyota Motor Thailand baru-baru ini telah memperkenalkan Hilux serba baharu, menandakan evolusi seterusnya bagi trak pikap ikonik global jenama itu. Hilux baharu ini hadir dengan dua pilihan iaitu enjin pembakaran dalaman (ICE) dan elektrik sepenuhnya (BEV). Pengenalan rasmi dijangka bermula di pasaran terpilih menjelang tahun fiskal 2026.

Hilux generasi kesembilan ini dibina dengan keteguhan casis yang dipertingkatkan, talaan suspensi baharu serta penggunaan sistem stereng kuasa elektrik (EPS) bagi memastikan pemanduan lebih stabil dan selesa sama ada di bandar mahupun kawasan lasak.

Dalam usaha mencapai neutral karbon, Toyota memperkenalkan pilihan varian elektrik (BEV) di samping varian enjin konvensional (ICE). Model BEV menawarkan tork segera, pemanduan senyap dan keupayaan off-road yang sama mantap, menjadikannya sesuai untuk pelanggan profesional mahupun gaya hidup aktif.

Bahagian dalamannya pula menampilkan pelbagai teknologi keselamatan dan sambungan pintar terkini, termasuk:

  • Toyota Safety Sense 3.0 (TSS 3) dengan fungsi pencegahan pelanggaran dan bantuan lorong yang dipertingkat.

  • Panoramic View Monitor (PVM) dan Multi-Terrain Monitor (MTM) bagi penglihatan lebih jelas di semua keadaan.

  • Sistem infotainmen generasi baharu dengan integrasi telefon pintar dan perkhidmatan berhubung (connected services).

Sebagai tambahan, Hilux kini ditawarkan di Thailand dalam beberapa konfigurasi termasuk 4×4 Single Cab, Smart Cab dengan pintu gaya ‘suicide’ dalam varian 4×2 Prerunner dan 4×4 4Trex, serta Double Cab dalam versi Prerunner, 4Trex dan Overland.

Harga jualan bermula dari 767,000 baht (RM98,800) hingga 1,366,000 baht (RM175,900), manakala model elektrik Hilux Travo-e dijual pada harga 1,491,000 baht (RM192,000). Buat masa ini, hanya varian berchasis tinggi ditawarkan, manakala pasaran “low-rider” masih dilayani oleh model Hilux Revo dan Hilux Champ sedia ada.

Sebagai salah satu model paling penting Toyota di Asia, Hilux terus menjadi simbol ketahanan, nilai jangka panjang dan kepercayaan pengguna. Pelancarannya kali ini bukan sahaja memperkenalkan generasi baharu kenderaan utiliti, tetapi juga memperkukuh komitmen Toyota dalam memperkasa mobiliti serantau dan membina masa depan yang lebih inklusif serta neutral karbon.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD