BMW Group Malaysia Jalin Kerjasama Dengan STDC Bagi Lahirkan Tenaga Mahir Automotif Masa Depan

BMW Group Malaysia Jalin Kerjasama Dengan STDC Bagi Lahirkan Tenaga Mahir Automotif Masa Depan

BMW Group Malaysia hari ini memeterai perjanjian kerjasama dengan Selangor Technical Development Centre (STDC) bagi memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) negara menerusi program BMW NextGT.

Kerjasama ini menandakan satu lagi langkah penting dalam komitmen berterusan BMW Group Malaysia untuk melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi serta membina ekosistem automotif yang mampan dan bersedia untuk masa depan, terutama dalam era teknologi kenderaan elektrik (EV) yang semakin pesat.

Menerusi inisiatif ini, jurulatih teknikal automotif STDC akan menjalani latihan intensif berasaskan BMW Technician Qualification Framework, meliputi modul-modul khas berkaitan teknologi automotif moden dan konsep terkini.

Selesai latihan, para jurulatih ini akan berkongsi kepakaran tersebut kepada pelajar vokasional yang mengikuti program BMW NextGT, bagi memastikan mereka menamatkan pengajian dengan kemahiran bertaraf industri, relevan untuk kenderaan konvensional mahupun elektrifikasi.

“Industri automotif kini sedang melalui fasa perubahan terbesar dalam sejarahnya, dan ia memerlukan tenaga kerja yang mampu mendorong inovasi ke hadapan. Melalui kerjasama dengan STDC, kami percaya pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan teknikal adalah kunci untuk membentuk masa depan mobiliti di Malaysia,” kata Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel.

Beliau menambah, dengan pendedahan dan latihan berpaksikan piawaian global BMW, pelatih dan pelajar Malaysia akan bersedia untuk memimpin transformasi industri automotif negara.

Sementara itu, Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor, berkata,“Kami amat berbesar hati dengan keyakinan yang diberikan BMW Group Malaysia terhadap kerajaan negeri melalui kerjasama ini. Program BMW NextGT mencerminkan komitmen Selangor untuk melahirkan generasi muda yang mampu memacu masa depan mobiliti lestari.”

Program BMW NextGT dijadualkan bermula pada tahun 2026, dengan kerjasama awal bersama Auto Bavaria, Millennium Welt dan Quill Automobiles, sebelum diperluaskan kepada lebih banyak pengedar BMW pada tahun berikutnya.

Inisiatif ini meneruskan kejayaan program terdahulu seperti BMW Technical Training Programme (BTTP) dan BMW High Voltage Expert (HVE), yang telah melahirkan ramai tenaga mahir tempatan dalam bidang servis dan penyelenggaraan kenderaan elektrik BMW i.

Usaha jangka panjang ini juga seiring dengan falsafah Heritage in Motion BMW Group Malaysia, yang terus menekankan inovasi dan kemajuan teknologi sambil memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju dalam pembangunan industri automotif serantau.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD