PARIS – Perancis mencipta penanda aras baharu dalam pengangkutan awam apabila memperkenalkan perkhidmatan kereta kabel bandar pertama di pinggir tenggara Paris, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan mobiliti penduduk luar bandar.
Perkhidmatan yang dikenali sebagai Câble 1 (C1) itu mula beroperasi pada Sabtu, melibatkan laluan sejauh 4.5 kilometer yang menghubungkan Créteil – Pointe du Lac, terminal Laluan Metro 8, ke Villeneuve-Saint-Georges, merentasi kawasan Limeil-Brévannes dan Valenton.
Sistem berkenaan menggunakan 105 gondola, masing-masing mampu membawa 10 penumpang duduk, dengan kapasiti anggaran 11,000 pengguna sehari.
Majlis perasmian disempurnakan Presiden Wilayah Île-de-France, Valérie Pécresse, bersama beberapa datuk bandar tempatan. Menurut beliau, projek tersebut mencerminkan pendekatan baharu terhadap pengangkutan awam yang lebih mampan, inklusif dan mesra alam.
“Ini bukan kereta kabel untuk tujuan pelancongan semata-mata, sebaliknya satu penyelesaian konkrit bagi kawasan yang berdepan kesesakan, bentuk muka bumi berbukit serta akses terhad kepada rangkaian metro,” katanya.
Tempoh perjalanan penuh hanya mengambil masa 18 minit, hampir separuh lebih singkat berbanding perjalanan menggunakan bas atau kenderaan persendirian yang boleh mencecah 40 minit.
Laluan C1 turut direka bagi menghubungkan kawasan perumahan yang sebelum ini kurang mendapat liputan pengangkutan awam, sekali gus membantu mengurangkan penggunaan kereta persendirian dan pelepasan karbon.
Pada waktu puncak, gondola beroperasi setiap 30 saat, menjadikannya antara sistem pengangkutan dengan kekerapan tertinggi di rantau itu. Kemudahan ini juga mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan boleh digunakan dengan tiket pengangkutan awam sedia ada.
Projek bernilai kira-kira €132 juta (RM670 juta) ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang Île-de-France Mobilités untuk memperluas dan memperkukuh jaringan pengangkutan awam di kawasan pinggir bandar.
Sumber: Astro Awani
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?