NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Penunggang Motosikal Cedera Akibat Perlanggaran Dengan Gajah Di JRTB, Tasik Banding

Penunggang Motosikal Cedera Akibat Perlanggaran Dengan Gajah Di JRTB, Tasik Banding

GERIK – Seorang penunggang motosikal berusia 36 tahun mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan dengan seekor gajah di Kilometer 31, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli, berhampiran Tasik Banding, pada Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman memaklumkan, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut sekitar jam 9.30 malam.

Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku kira-kira jam 9 malam ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R dalam perjalanan pulang ke rumah. Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dikatakan terserempak dengan seekor gajah yang berada di atas laluan jalan raya.

“Mangsa cuba mengelak haiwan berkenaan, namun gagal sebelum motosikalnya terlanggar gajah tersebut dan menyebabkan mangsa terjatuh. Gajah itu kemudian bertindak agresif dengan merosakkan motosikal sebelum beredar dari lokasi,” katanya menerusi kenyataan.

Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala motosikalnya dilaporkan mengalami kerosakan.

Sehubungan itu, Abdul Samad menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada khususnya ketika melalui laluan JRTB yang dikenal pasti sebagai kawasan lintasan hidupan liar.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa hantaran memaparkan seorang lelaki terbaring di atas sebuah lori yang dikaitkan dengan insiden perlanggaran dengan gajah di laluan berkenaan.

Sumber: Astro Awani

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy