SUNGAI PETANI – Cukai jalan tamat tempoh dipercayai menjadi punca seorang pemuda memecut keretanya, Proton Saga FL, lebih 10 kilometer (km) dalam cubaan mengelak ditahan polis, sebelum berjaya diberkas selepas melanggar kenderaan polis dan sebuah kereta orang awam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, lelaki tempatan berusia 22 tahun itu pada mulanya enggan memberhentikan kenderaannya ketika diarahkan sebuah Unit Kereta Peronda (MPV) untuk pemeriksaan di Jalan Kuala Ketil.
“Dia sebaliknya memecut kereta hingga ke Tikam Batu sebelum berpatah balik ke Taman Sri Tanjung di Sungai Layar. Ketika melalui taman perumahan itu, suspek melanggar sebuah kereta yang diparkir di garaj.
“Suspek kemudian bertembung dengan sebuah lagi kereta peronda polis yang datang memberi bantuan dan turut melanggar bahagian tepi MPV itu, sebelum berjaya ditahan,” katanya.
Menurut beliau, sebuah kereta peronda jenis Honda Civic mengalami kerosakan di bahagian kanan termasuk pintu penumpang belakang, manakala sebuah Proton Saga milik orang awam rosak di beberapa bahagian belakang dan kenderaan dipandu suspek turut mengalami kerosakan di bahagian kanan.
“Pemeriksaan tidak menemui sebarang bahan terlarang atau senjata berbahaya di dalam kereta itu melainkan cukai jalan kereta tersebut yang didaftarkan atas nama abang suspek telah tamat tempoh,” katanya.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah dan semakan turut mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Utusan Malaysia
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?