NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

800 Liter Diesel Diseleweng Lori Ubah Suai Di Johor Bahru

800 Liter Diesel Diseleweng Lori Ubah Suai Di Johor Bahru

800 liter diesel diseleweng lori ubah suai di Johor Bahru gagal apabila Unit Ronda Penguat Kuasa (URP) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Johor menahan sebuah lori mencurigakan dalam operasi rondaan di stesen minyak sekitar Lebuhraya Pasir Gudang pada kira-kira jam 2 petang Isnin lalu.

Cubaan menyeleweng diesel bersubsidi menggunakan kenderaan yang telah diubah suai secara haram ini berjaya ditumpaskan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM20,716.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo menjelaskan bahawa pemeriksaan teliti ke atas lori berkenaan mendedahkan pengubahsuaian haram yang amat tersusun dan terancang.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori itu telah diubah suai dengan pemasangan dua pam yang disambungkan terus daripada tangki asal ke tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) di bahagian ruang simpanan. Tangki berkenaan dipercayai mengandungi kira-kira 800 liter minyak diesel,” katanya dalam kenyataan.

Modus operandi tersebut dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan dan penyimpanan minyak diesel secara tidak sah sebelum diagihkan kepada pembeli di pasaran gelap.

Pemeriksaan lanjut ke atas pemandu, seorang lelaki tempatan, mendedahkan bahawa beliau gagal mengemukakan sebarang dokumen sah termasuk permit khas bagi menyimpan atau membeli bahan api dalam kuantiti sedemikian.

Susulan itu, satu tindakan kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM20,716.

KPDN Johor menegaskan bahawa sebarang usaha menyeleweng barang kawalan termasuk melalui pengubahsuaian kenderaan merupakan kesalahan serius yang tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan digalakkan menyalurkan aduan kepada KPDN melalui Whatsapp 019-848 8000, Portal e-Aduan, talian: 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Sumber : Sinar Harian

Aisyah Rafiza

Aisyah Rafiza adalah jambatan korporat utama NAZZ&CO™ Media. Sebagai Eksekutif Perhubungan Awam (PR) & Penganalisis Strategik, beliau menguruskan hubungan klien berprofil tinggi serta unjuran strategik bagi memastikan setiap visi syarikat disampaikan dengan integriti dan kejelasan mutlak kepada pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy