NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Krisis Asia Barat Paksa Pengusaha Pelancongan Malaysia Perkenal Pakej Bajet

Krisis Asia Barat Paksa Pengusaha Pelancongan Malaysia Perkenal Pakej Bajet

Di sebalik pemulihan pascapandemik, industri pelancongan negara kini berdepan cabaran baharu susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan laluan udara dan meningkatkan kos bahan api global.

Walaupun sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) adalah sebanyak 47 juta pelancong, kenaikan kos operasi yang mendadak memaksa pemain industri lebih kreatif dan fleksibel dalam menawarkan pakej perkhidmatan mereka.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong, mengakui bahawa tekanan kos adalah isu utama yang menghimpit pengusaha ketika ini.

Kenaikan harga tiket penerbangan dan beban subsidi bahan api negara yang mencecah RM4 bilion sebulan turut memberi kesan langsung kepada harga pakej pelancongan.

Bagi mendepani situasi ini, banyak agensi pelancongan mula memperkenalkan pakej mesra poket dengan menukar taraf penginapan dan lokasi lawatan bagi mengurangkan beban pelanggan.

Wan Mohd Shahfiz daripada Ghani Generation Travel Holidays menjelaskan bahawa mereka kini lebih fokus kepada pasaran Asia Selatan dan ASEAN sebagai pelan sandaran.

“Untuk pakej bajet, kami menukar hotel daripada tiga bintang kepada dua bintang. Kami juga memilih lokasi yang lebih murah untuk dilawati pelanggan. Kalau dalam pakej eksklusif ada tempat lawatan kenakan tiket RM20, untuk pakej bajet kami tukar tempat yang lagi murah,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, sektor perhotelan di destinasi tumpuan seperti Port Dickson turut merasai impak pembatalan persidangan.

Pengurus Pemasaran Thistle, Farah Najwa dan M Shamini menyatakan mereka kini perlu lebih fleksibel dengan harga tempahan mengikut bajet pelanggan bagi memastikan kelangsungan resort.

Di sebalik kebimbangan mengenai aspek keselamatan bot yang mungkin diabaikan sesetengah pengusaha demi keuntungan, penganalisis melihat krisis ini sebagai peluang keemasan untuk Malaysia.

Penganalisis Asia Barat daripada ISIS Malaysia, Maryam Ismail, menggesa industri memikirkan semula strategi promosi dengan mengambil alih peranan hab transit yang sebelum ini didominasi oleh negara-negara Teluk (GCC).

“Ada potensi besar untuk Malaysia membina semula kedudukannya kerana lokasi kita sangat strategik dalam menjadi hab transit lebih besar, khususnya bagi rantau Timur. Sekarang adalah peluang untuk Malaysia beralih ke pasaran Timur dan menjadi hab transit bagi rantau Timur dan Pasifik,” jelas Maryam Ismail.

Laporan Majlis Pelancongan dan Pengembaraan Dunia (WTTC) menunjukkan destinasi di Asia Barat kehilangan kira-kira AS$600 juta sehari sejak konflik bermula.

Dengan perubahan arah aliran pelancong ini, Malaysia mempunyai ruang luas untuk memposisikan diri sebagai destinasi selamat dan hab utama bagi laluan Timur ke Timur.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD