Dalam segmen pasaran SUV-B yang semakin kompetitif dan sesak dengan pelbagai pesaing baharu, PROTON mengambil langkah yang segar untuk terus mengekalkan daya tarikan model popular mereka.
Berita baik untuk pasaran automotif Malaysia, bermula bulan April ini, warna Proton X50 Quartz Black secara rasminya diperkenalkan sebagai pilihan warna utama untuk semua varian!

Keputusan ini didorong oleh kejayaan cemerlang PROTON X50 Black Edition pada bulan Mac lalu, di mana kesemua 200 unit edisi terhad yang berasaskan varian Flagship habis disapu bersih oleh pembeli.
Momentum jualannya kekal kukuh dengan 3,265 unit terjual pada bulan Mac sahaja. Untuk tiga bulan pertama tahun 2026, ia masih mengekalkan kedudukan sebagai SUV paling popular di Malaysia dengan jumlah keseluruhan jualan sebanyak 7,571 unit. Angka ini merupakan peningkatan luar biasa sebanyak 48 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu
Di luar sana, trend warna kenderaan sering berubah, namun warna hitam sentiasa kekal sebagai lambang sofistikasi, kuasa dan keyakinan yang tidak lapuk dek zaman. Bagi pasaran profesional muda bandar pada masa kini, warna ini mewakili gaya hidup yang minimalis, matang, serta penuh keyakinan.
Apabila dikenakan pada model yang sememangnya terkenal dengan karakter sporty, kemasan warna baharu ini membuatkan bahagian hadapan yang garang, panel badan berukir dan postur dinamik SUV ini tampil jauh lebih menyerlah dan tegas. Malah, ia berjaya menonjolkan elemen kontras seperti perincian krom dan lampu LED dengan lebih tajam. Di sudut praktikal pula, hitam sentiasa dianggap pilihan yang selamat dalam pasaran jualan semula berikutan permintaannya yang konsisten.

Pengalaman pemilikan adalah kunci utama kepuasan pelanggan, dan PROTON X50 disokong oleh pakej perkhidmatan selepas jualan yang komprehensif bagi memastikan ketenangan fikiran pemilik. Melalui inisiatif Fast Service, penyelenggaraan asas seperti penukaran minyak enjin dan penapis disasarkan siap dalam masa 90 minit sahaja bagi pelanggan yang membuat tempahan awal dan menunggu di pusat servis.
Untuk kerja penyelenggaraan yang lebih menyeluruh, 1-Day Service Delivery memberi jaminan kenderaan disiapkan dalam tempoh 24 jam untuk pelanggan temu janji atau walk-in. Jika keadaan memerlukan pembaikan melebihi tiga hari bekerja, pihak PROTON akan menyediakan kereta gantian berserta servis percuma sekali yang merangkumi alat ganti dan kos upah kerja.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Dato’ Ir Abdul Rashid Musa, model ini telah mencipta kejayaan yang luar biasa sejak kemunculannya pada 2020 berpandukan kepada kualiti produk dan kefahaman mendalam terhadap keperluan pelanggan.
Pengenalan warna baharu ini menegaskan bahawa pembeli bukan sekadar membeli kenderaan, tetapi melabur dalam sebuah identiti, gaya hidup, dan jaminan kebolehpercayaan sebuah SUV moden untuk rakyat Malaysia.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?