PETALING JAYA, 29 APRIL 2026 – Memiliki sebuah jentera Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) atau trak pikap 4×4 berkuasa tinggi tidak membawa sebarang makna jika jentera tersebut dipakaikan dengan tayar jalanan yang murah dan nipis. Menyedari kelompongan besar dalam pasaran automotif bagi segmen off-road harian, jenama tayar premium dari Eropah, Continental Tyres hari ini secara rasminya telah melancarkan tayar jenis all-terrain (A/T) terbaharu mereka di Malaysia, iaitu Continental CrossContact A/T².
Pelancaran tayar generasi baharu ini bukan sekadar satu lagi produk tambahan dalam katalog mereka, sebaliknya ia menandakan pengembangan berterusan dan agresif Continental Tyres di dalam segmen SUV dan 4×4 bagi pasaran domestik. Model CrossContact A/T² ini telah diolah secara khusus dengan daya cengkaman dan ketahanan struktur yang paling maksimum bagi menghadapi permukaan muka bumi yang ekstrem, tanpa mengorbankan tahap keselesaan akustik dan prestasi pemanduan di atas jalan raya berturap.
Sering kali, pemandu 4×4 terpaksa berhadapan dengan dilema; tayar yang sedap di laluan balak lazimnya akan membuang dan licin di atas jalan tar yang basah. Continental menyelesaikan masalah fizik ini melalui pengenalan kompaun proprietari termaju yang dipanggil BlackPaw™. Kompaun getah pintar ini mempunyai keupayaan adaptif yang unik, membolehkannya menyesuaikan diri dengan pantas mengikut pelbagai keadaan cuaca dan perubahan drastik pada permukaan jalan. Ini mengoptimumkan cengkaman tayar secara berterusan walau apa jua halangan yang merintangi.
Selain itu, cengkaman mekanikal tayar ini diperkasakan lagi melalui teknologi TRACTIONPLUS+. Tayar ini dibina dengan kedalaman bunga tayar yang dipertingkatkan berserta isipadu rongga yang tinggi. Lebih kejam, bahagian bahu tayar (shoulder) ini didatangkan dengan keupayaan ‘pembersihan sendiri’ (self-cleaning). Apabila tayar ini meredah selut atau lumpur tebal, putaran tayar secara automatik akan membuang kotoran tersebut, memastikan kenderaan mendapat cengkaman yang lebih kukuh dan kawalan stereng yang tajam di atas permukaan longgar atau tidak rata.

Kabus mimpi ngeri bagi setiap kaki off-road adalah tayar koyak pada bahagian sisi (sidewall) akibat tersagat pada batu tajam atau tunggul kayu. Bagi menyerap hentakan dan seksaan di laluan yang tidak bertimbang rasa ini, rekaan corak bunga tayar CrossContact A/T² yang kukuh telah dipadankan dengan ketebalan dinding sisi tayar yang diperkukuh secara drastik.
Struktur tulang tayar yang dinaik taraf ini direka untuk menahan tahap hentakan yang jauh lebih tinggi. Inovasi ini secara langsung mampu mengurangkan risiko berlakunya tusukan (puncture) yang tidak dijangka, meminimumkan koyakan dinding akibat geseran objek tajam, serta melindungi struktur rim daripada kerosakan fizikal yang menelan belanja ribuan ringgit.

Dari segi utiliti komersial, Continental sama sekali tidak meminggirkan golongan pemilik trak pikap yang menjadikan kenderaan mereka sebagai kuda kerja di tapak pembinaan atau perladangan. CrossContact A/T² menyokong tahap keupayaan bebanan yang luar biasa sehingga ke tahap Load Range E. Spesifikasi tugas berat (heavy duty) ini memberikan kestabilan jitu ketika kenderaan dipaksa beroperasi di bawah kapasiti bebanan barangan yang maksimum tanpa menyebabkan tayar menjadi ‘buncit’ atau hilang keseimbangan.
Bagi memastikan pasaran dapat menyerap lambakan produk ini dengan pantas, tayar terbaharu ini ditawarkan dengan pilihan saiz yang paling meluas di Malaysia. Pemilik kenderaan boleh memilih daripada 42 variasi pilihan saiz yang berbeza, di mana ia merangkumi dimensi saiz diameter rim daripada sekecil 15 inci sehinggalah gergasi 22 inci.
Di sinilah kesilapan paling kritikal majoriti pemilik 4×4 di negara ini. Sanggup membayar ansuran bulanan untuk sebuah pikap berharga RM150,000, melabur ribuan ringgit untuk kit suspensi buatan luar negara, tetapi menjadi amat kedekut apabila tiba bab tayar. Membeli tayar cap ayam dari jenama tidak dikenali semata-mata kerana harganya murah adalah satu keputusan yang bakal meragut nyawa. Ingat, sistem brek termahal di dunia tidak berguna jika satu-satunya permukaan kenderaan anda yang bersentuhan dengan jalan raya gagal mencengkam dengan baik.
Menurut Pengarah Urusan Malaysia dan Ketua ASEAN bagi Continental Tyres, Andrea Somorova, pasaran dan cuaca tropika di Malaysia memainkan peranan yang amat penting dalam proses penyelidikan serta pembangunan (R&D) tayar ini. “CrossContact A/T² baharu ini dibina berdasarkan situasi penggunaan sebenar bagi pemandu yang bergantung pada kenderaan utiliti dan 4×4. Ia direka untuk memberikan keyakinan di saat yang paling diperlukan,” jelas beliau dengan tegas.
Sebagai sebuah syarikat teknologi automotif global yang ditubuhkan sejak tahun 1871, Continental bukan sekadar pengeluar getah biasa. Disokong oleh kekuatan 78,000 kakitangan di seluruh dunia, syarikat ini terus mendominasi industri dengan catatan jualan mencatatkan rekod sebanyak €19.7 bilion pada tahun 2025, di mana €13.8 bilion daripadanya disumbangkan secara langsung oleh sektor tayar itu sendiri.
Tayar yang dinanti-nantikan ini kini sudah pun berada di semua pusat jualan bebas berjenama Continental di seluruh negara. Anda tidak lagi mempunyai alasan untuk menunda penukaran tayar kerana ia juga boleh dibeli terus melalui kedai rasmi dalam talian mereka di platform Shopee, Lazada, platform video TikTok, dan juga aplikasi TnG eWallet. Jika anda benar-benar menyayangi jentera dan nyawa keluarga anda, sudah tiba masanya untuk membuang tayar botak anda dan menaik taraf kepada teknologi sebenar.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?