NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

ETS Jadi Alternatif Baharu Pelancong Ke Genting Highlands

ETS Jadi Alternatif Baharu Pelancong Ke Genting Highlands

KUALA LUMPUR – Resorts World Genting (RWG) melancarkan kerjasama penjenamaan tren ETS pertama di Malaysia sebagai usaha memperkukuh pelancongan domestik serta menjadikan ETS sebagai alternatif perjalanan lebih selesa ke Genting Highlands.

Inisiatif yang dilaksanakan bersama Railway Assets Corporation (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu turut dilihat selari dengan kempen Visit Malaysia 2026 dalam menggalakkan lebih ramai rakyat tempatan serta pelancong antarabangsa meneroka destinasi pelancongan dalam negara.

Menurut RWG, tren ETS berjenama khas itu akan berfungsi sebagai platform promosi bergerak yang merentasi Semenanjung Malaysia, sekali gus meningkatkan pendedahan untuk Genting Highlands kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam mempertingkatkan kemudahan serta akses perjalanan ke Genting Highlands.

“Ketika Malaysia bersedia menerima lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, aspek kebolehcapaian dan ketersambungan yang lancar akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengalaman pelancong.

“Melalui kerjasama dengan RAC dan KTMB, kami berbangga menjadi jenama hospitaliti pertama yang dipaparkan pada tren ETS, sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap RWG serta menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa meneroka negara ini melalui perjalanan rel,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu turut menawarkan alternatif perjalanan yang lebih selesa khususnya kepada pengunjung dari Johor dan Singapura, selain membantu mengurangkan kesesakan jalan raya serta tempoh perjalanan panjang.

Seiring dengan kempen berkenaan, RWG turut melancarkan cabaran media sosial di peringkat nasional bagi menggalakkan penglibatan pelancong dan peminat kereta api, dengan peserta berpeluang memenangi ganjaran perjalanan ETS serta pengalaman eksklusif di RWG.

Dalam masa sama, RWG turut bersiap sedia menyambut kemeriahan 2026 FIFA World Cup menerusi pelbagai aktiviti dan tarikan bertemakan bola sepak bermula 12 Jun ini.

Pengunjung juga bakal berpeluang menyaksikan tayangan langsung perlawanan serta menyertai pelbagai aktiviti hiburan yang disediakan di resort berkenaan.

Izzah Amirah

Izzah Amirah adalah Penerbit Kandungan Gaya Hidup & Kembara yang juga bertindak sebagai 'enjin kreatif' di sebalik siri mega TERPALING TRAVEL. Beliau bertanggungjawab menterjemahkan pengalaman kembara global kepada penceritaan digital dan kewartawanan gaya hidup yang eksklusif buat pembaca.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy