NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Mazda CX-5 Baharu Jadi Tarikan Di KLIMS 2026

Mazda CX-5 Baharu Jadi Tarikan Di KLIMS 2026

Bermaz Motor selaku pengedar eksklusif kenderaan Mazda di Malaysia secara rasmi telah membawakan pratinjau eksklusif bagi Mazda CX-5 Baharu di pentas Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026. 

Diperkenalkan buat pertama kali di peringkat global pada tahun 2025, SUV teras generasi terbaharu ini menandakan lembaran baharu bagi portfolio kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda.

Kemunculannya mencerminkan komitmen berterusan jenama tersebut terhadap kejuruteraan berorientasikan manusia (human-centric engineering), reka bentuk yang diperhalusi, serta pengalaman pemanduan yang dipertingkatkan.

Sebagai salah satu model Mazda yang paling dikenali dan mencatatkan jualan terbaik di peringkat global, Mazda CX-5 Baharu merangkumi falsafah untuk mencipta kenderaan yang terasa semula jadi, intuitif, dan mempunyai hubungan mendalam antara pemandu dan jentera.

Evolusi terbaharu ini mengukuhkan lagi asas berkenaan dengan memberikan tumpuan diperbaharui kepada aspek keseimbangan, keselesaan, dan kebolehgunaan harian, iaitu kualiti yang sekian lama menentukan daya tarikan CX-5 dalam kalangan keluarga, profesional, dan pemandu bandar di Malaysia.

Evolusi Reka Bentuk Luaran Berkonsepkan ‘Wearable Gear’

Mazda CX-5 Baharu berkembang di bawah konsep reka bentuk ‘Wearable Gear’ yang membawakan bentuk luaran yang lebih sporty dan meyakinkan, sekali gus sangat sesuai untuk pemanduan di dalam bandar mahupun aktiviti pengembaraan. 

Reka bentuk perkadaran baharu dan jarak roda (wheelbase) yang dipanjangkan bukan sahaja meningkatkan keandalan jentera di atas jalan raya, malah menambah kestabilan pemanduan serta praktikaliti penggunaan harian.

Seni reka bentuk ini disuntik lagi menerusi kemasan permukaan yang diukir kemas, rekaan lampu yang diperhalusi, serta pendirian kenderaan yang lebih teguh bagi menggambarkan evolusi terbaharu bahasa reka bentuk Kodo Mazda. 

Hasilnya, SUV ini kelihatan menyatu dengan lancar dalam kehidupan moden dengan menonjolkan gabungan antara kesederhanaan reka bentuk dan kekuatan fizikal yang kontemporari.

Kabin Premium Dan Kejuruteraan Dinamik 

Melangkah ke ruang dalaman, kabin Mazda CX-5 Baharu terus menterjemahkan komitmen Mazda terhadap ketukangan berkualiti tinggi (premium craftsmanship) dan susun atur yang intuitif. 

Setiap elemen di dalam kabin direka bagi meminimalkan gangguan pemandu dan memaksimumkan keselesaan untuk semua penumpang melalui penggunaan bahan premium, ergonomik yang dipertingkatkan, serta teknologi kognitif manusia yang maju. 

Gabungan ciri-ciri ini mewujudkan persekitaran pemanduan yang tenang, santai, dan premium untuk perjalanan jarak jauh.

Siri evolusi ini turut disokong oleh struktur kejuruteraan dinamik yang memastikan kenderaan bertindak balas dengan tepat terhadap setiap input pemandu. 

Melalui fokus yang dipertingkatkan pada aspek keselesaan tunggangan, pengurangan kadar bunyi, getaran, dan kekasaran (NVH), serta kawalan badan kenderaan yang lancar, Mazda CX-5 Baharu menawarkan kualiti pemanduan yang tenang dan meyakinkan di pelbagai kondisi jalan raya.

Selain daripada tayangan CX-5 terbaharu, reruai Mazda di KLIMS 2026 turut mempamerkan barisan kenderaan terkemuka lain termasuk Mazda CX-60 3.3 MHEV yang membuat kemunculan sulung kepada umum, Mazda3 2.0L, Mazda MX-5, dan Mazda CX-80 2.5L PHEV.

Pihak Bermaz Motor turut menyediakan sesi pandu uji eksklusif bagi model Mazda3 2.0L dan Mazda CX-5 2.5L untuk memberikan peluang kepada pengunjung merasai sendiri falsafah pemanduan “Jinba-Ittai” yang terkenal.

Izzah Amirah

Izzah Amirah adalah Penerbit Kandungan Gaya Hidup & Kembara yang juga bertindak sebagai 'enjin kreatif' di sebalik siri mega TERPALING TRAVEL. Beliau bertanggungjawab menterjemahkan pengalaman kembara global kepada penceritaan digital dan kewartawanan gaya hidup yang eksklusif buat pembaca.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy