NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

JETOUR T2 i-DM Dilancarkan Di Malaysia, Tawar 1,200km Jarak Gabungan Pada RM162,800

JETOUR T2 i-DM Dilancarkan Di Malaysia, Tawar 1,200km Jarak Gabungan Pada RM162,800

KUALA LUMPUR: JETOUR Malaysia kini memperluaskan rangkaian SUV elektrifikasinya dengan pelancaran JETOUR T2 i-DM, sebuah Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) yang menawarkan kuasa gabungan sehingga 265 kW (360 PS), tork maksimum 610 Nm dan jarak pemanduan gabungan sehingga 1,200 km.

Ditawarkan pada harga RM162,800, JETOUR T2 i-DM turut mampu bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh lebih 100 km, menjadikannya pilihan baharu untuk pengguna yang mahukan gabungan kecekapan PHEV dengan karakter SUV yang lebih lasak.

Gabungkan Enjin 1.5L Dengan Sistem Elektrifikasi

JETOUR T2 i-DM menggunakan sistem hibrid Intelligent Dual-Mode (i-DM) yang menggabungkan enjin 1.5-litre TGDi dengan sistem motor elektrik serta transmisi hibrid khusus tiga kelajuan.

Berdasarkan spesifikasi yang diberikan, enjin tersebut menghasilkan 100 kW dan 220 Nm, manakala motor elektrik menghasilkan sehingga 165 kW dan 390 Nm. Kuasa gabungan sistem pula mencapai 265 kW dan 610 Nm.

Sistem i-DM direka untuk menukar sumber kuasa mengikut keadaan pemanduan. Ia mempunyai mod EV Drive untuk kawasan perumahan dan kelajuan rendah, Series Hybrid ketika trafik bandar, Dual Power Boost ketika memotong atau mendaki bukit, serta Parallel Hybrid untuk pemanduan lebuh raya. Sistem regenerative braking pula membantu mendapatkan semula tenaga ketika membrek dan menuruni bukit.

Bateri 18.4kWh, Boleh Cas DC

Untuk sistem elektrifikasinya, T2 i-DM menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 18.4 kWh.

Bateri tersebut mempunyai perlindungan air dan habuk bertaraf IP68, selain dilengkapi sarung berketahanan tinggi, perlindungan bahagian bawah kenderaan, perlindungan suhu tinggi dan sistem pemutusan kuasa voltan tinggi dengan pantas.

T2 i-DM juga menyokong pengecasan DC sehingga 57 kW, dengan masa pengecasan daripada 30% ke 80% sekitar 27 minit atau kurang.

Bagi pengecasan AC 6.6 kW menggunakan wallbox, bateri boleh dicas daripada 30% ke 100% dalam masa sekitar tiga jam atau kurang, manakala pengecas mudah alih AC 2.2 kW mengambil masa sekitar enam jam atau kurang.

Selain itu, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 3.3 kW membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk membekalkan kuasa kepada peranti luaran yang serasi.

Masih Kekalkan Reka Bentuk Lasak T2

Walaupun menggunakan sistem PHEV, JETOUR tidak banyak mengubah karakter reka bentuk T2 yang berorientasikan pengembaraan.

T2 i-DM menampilkan lampu hadapan Auto LED dengan JETOUR Signature Wordlight, rim aloi Trailblazer 20-inci, cermin sisi dengan Reversing Mode serta tayar ganti yang dipasang di bahagian belakang. Model ini turut dilengkapi Electric Suction Back Door.

Dari segi dimensi, T2 i-DM mempunyai panjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm dan tinggi 1,875 mm, dengan jarak roda 2,800 mm serta berat kerb sekitar 2,045 kg.

Kabin Dengan Skrin 15.6 Inci Dan Audio Sony

Di dalam kabin, T2 i-DM menerima paparan multimedia bersaiz 15.6 inci bersama paparan khusus sistem hibrid.

Turut ditawarkan ialah sistem audio premium Sony dengan 12 pembesar suara, pengecas tanpa wayar 50W, tempat duduk hadapan dengan fungsi memori dan Welcome Function, tempat duduk hadapan berpengudaraan, tombol gear kristal bercahaya, cermin pandang belakang Auto Dimming serta pencahayaan ambien Cosmic Multicolour.

ADAS Tahap 2 Dan Enam Beg Udara

Dari aspek keselamatan, JETOUR T2 i-DM dilengkapi Advanced Driver Assistance System (ADAS) Tahap 2.

Antara cirinya termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Assist Intervention (LAI), Blind Spot Detection (BSD), Integrated Cruise Assist (ICA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent High Beam (IHB).

SUV ini turut dilengkapi enam beg udara SRS, struktur badan menggunakan High Strength Steel, Panoramic View Monitoring System serta Tyre Pressure Monitoring System.

Harga RM162,800, Ada Pakej Early Bird

JETOUR T2 i-DM ditawarkan pada harga RM162,800, dengan harga tersebut merupakan nett selling price bagi Semenanjung Malaysia dan tidak termasuk yuran pendaftaran, pemeriksaan, pemilikan HP, cukai jalan serta insurans.

Untuk 2,000 pendaftaran terawal, JETOUR menawarkan Pakej Early Bird bernilai sehingga RM3,000.

Pelanggan boleh memilih sama ada mendapatkan wallbox AC 7kW percuma termasuk pemasangan, atau kredit pengecasan ChargeSini bernilai RM2,000. Kedua-dua pilihan turut disertakan kabel penyesuai V2L percuma, tertakluk kepada terma dan syarat. Kadar faedah serendah 1.68% turut ditawarkan bagi pelanggan yang layak.

Waranti Sehingga 10 Tahun Untuk Enjin

Dari segi pemilikan, JETOUR T2 i-DM hadir dengan waranti kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000 km, manakala bateri voltan tinggi dilindungi selama lapan tahun atau 160,000 km.

Waranti enjin pula diberikan sehingga 10 tahun atau 1,000,000 km, selain lima sesi penyelenggaraan percuma, tertakluk kepada mana-mana yang terdahulu.

Program insurans JETOUR turut menawarkan perlindungan tambahan, termasuk perlindungan wallbox AC 7kW sehingga RM5,000 serta perlindungan liabiliti peribadi pihak ketiga sehingga RM50,000 berkaitan penggunaan atau pengendalian pengecas EV.

Bagi 2,000 pemilik terawal atau sehingga 28 Februari 2027, mana-mana yang terdahulu, perlindungan Special Perils turut ditawarkan sebagai sebahagian daripada kempen pelancaran, tertakluk kepada terma dan syarat.

Dengan T2 i-DM, JETOUR kini menawarkan pilihan PHEV kepada pembeli SUV yang mahukan kemampuan bergerak secara elektrik untuk perjalanan harian, tetapi masih mempunyai fleksibiliti sistem hibrid untuk perjalanan lebih jauh.

Pada masa sama, kombinasi 265 kW, 610 Nm dan jarak gabungan sehingga 1,200 km menjadikan T2 i-DM sebagai tambahan baharu kepada segmen SUV elektrifikasi di Malaysia.

Aisyah Rafiza

Aisyah Rafiza adalah jambatan korporat utama NAZZ&CO™ Media. Sebagai Eksekutif Perhubungan Awam (PR) & Penganalisis Strategik, beliau menguruskan hubungan klien berprofil tinggi serta unjuran strategik bagi memastikan setiap visi syarikat disampaikan dengan integriti dan kejelasan mutlak kepada pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy