KUALA LUMPUR, 22 September 2026 – Hyundai Motor Malaysia (HMY) secara rasmi melancarkan Hyundai Stargazer ke pasaran Malaysia, menawarkan sebuah MPV tujuh tempat duduk dengan harga permulaan RM99,800.
Model baharu ini diperkenalkan dengan konsep ‘The WEhicle’, yang menurut Hyundai memberi fokus kepada keperluan keluarga moden menerusi ruang kabin fleksibel, ciri kemudahan, teknologi serta sistem keselamatan.
Untuk pasaran Malaysia, Stargazer ditawarkan dalam tiga varian iaitu Style, Prime dan X, dengan setiap varian membawa konfigurasi serta kelengkapan yang berbeza.

Varian paling rendah, Stargazer Style, ditawarkan pada harga RM99,800 dan menggunakan konfigurasi tujuh tempat duduk 2+3+2.
Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk lampu utama LED dengan H-signature Daytime Running Lights, sistem multimedia 8 inci, meter warna TFT LCD 4.2 inci serta rim aloi 16 inci.
Naik ke varian Stargazer Prime, harga meningkat kepada RM109,800.
Varian ini menerima peningkatan dari segi teknologi dengan dua skrin bersaiz 10.25 inci, selain sistem bantuan pemanduan Hyundai SmartSense dengan ciri ADAS 2.0.
Prime turut dilengkapi enam beg udara, memberikan tambahan perlindungan kepada penumpang.
Sementara itu, varian tertinggi Stargazer X ditawarkan pada harga RM121,800.
Berbanding dua varian lain, Stargazer X tampil dengan pendekatan lebih bergaya menerusi reka bentuk berinspirasikan SUV. Ia turut menggunakan konfigurasi enam tempat duduk 2+2+2 dengan kerusi kapten, selain tempat duduk kemasan leatherette.
Varian ini juga dilengkapi kawalan transmisi Shift-By-Wire.


Hyundai memposisikan Stargazer sebagai kenderaan yang dibangunkan berdasarkan cara keluarga menggunakan sebuah kereta dalam kehidupan seharian.
Selain menawarkan ruang untuk membawa penumpang, kabin Stargazer turut mempunyai beberapa ciri penyimpanan dan kemudahan seperti cargo floor box dengan penutup, meja di belakang tempat duduk serta beberapa port USB.
Bagi Stargazer X pula, terdapat konsol tengah jenis terapung dengan dulang boleh tanggal yang memberikan lebih fleksibiliti dalam penggunaan ruang kabin.
Dari aspek keselesaan, ciri seperti saluran pendingin hawa belakang yang dipasang pada bahagian bumbung turut ditawarkan pada model ini.
Varian terpilih juga dilengkapi pengecas tanpa wayar serta Electronic Parking Brake dengan Auto Hold.

Antara fokus Hyundai pada Stargazer ialah aspek keselamatan menerusi sistem Hyundai SmartSense.
Bergantung kepada varian, sistem bantuan pemanduan ADAS 2.0 merangkumi ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist dan Lane Following Assist.
Ciri-ciri ini direka untuk membantu pemandu dalam situasi seperti perjalanan di kawasan bandar serta ketika memandu di lebuh raya.
Stargazer Prime turut mendapat enam beg udara sebagai kelengkapan keselamatan tambahan.

Selain harga kenderaan, Hyundai turut menawarkan Early Bird Value Package bernilai RM4,600 sepanjang tempoh pelancaran.
Pakej tersebut termasuk yuran tempahan RM88 dan menawarkan lapan kali atau empat tahun servis selepas jualan percuma.
Pemilik Hyundai sedia ada yang membeli Stargazer baharu pula boleh menerima tambahan rebat RM1,000 menerusi program All-Star Reward.
Hyundai turut menawarkan program myHyundaiCare dengan waranti selama lapan tahun atau 160,000 kilometer.
Menariknya, Hyundai Malaysia turut memperkenalkan Stargazer Resale Value Protection (RVP) yang menetapkan nilai jualan semula berdasarkan tempoh pemilikan dan had perbatuan tertentu.
Di bawah program ini, pelanggan boleh memilih untuk menaik taraf kenderaan dengan nilai yang ditetapkan seperti berikut:
Terma dan syarat dikenakan bagi program berkenaan.
Dengan harga bermula RM99,800, Hyundai Stargazer kini memasuki pasaran Malaysia dengan pendekatan yang menekankan ruang keluarga, teknologi, ciri keselamatan serta kos pemilikan selepas pembelian.
Hyundai Motor Malaysia akan membuka peluang kepada orang ramai untuk melihat dan memandu uji Stargazer di pengedar seluruh negara pada 26 dan 27 September 2026.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?