KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 – SAIC Motor Malaysia bakal melancarkan MG ZS serba baharu yang dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia pada penghujung Oktober ini, dengan dua pilihan varian iaitu MG ZS 1.5 Turbo dan MG ZS Hybrid+.

MG ZS
Model tersebut sebelum ini diperkenalkan kepada umum menerusi KL International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026), dan kini bakal memasuki pasaran Malaysia dengan anggaran harga bermula RM105,000 bagi varian 1.5 Turbo, manakala MG ZS Hybrid+ dianggarkan berharga RM115,000. Kedua-dua harga adalah untuk Semenanjung Malaysia dan tidak termasuk insurans.
1000 pelanggan yang membuat tempahan awal akan menerima manfaat eksklusif bernilai RM3,000, selain lima tahun penyelenggaraan percuma.
MG ZS 1.5 Turbo menggunakan enjin petrol turbo 1.5 liter yang menghasilkan 170 PS dan 275 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT serta pacuan roda hadapan.
Menurut MG, varian tersebut menawarkan penggunaan bahan api gabungan pada kadar 6.9 liter/100 km dan dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 55 liter.
Bagi varian Hybrid+, MG ZS menggunakan bateri NCM berkapasiti 1.83 kWh, motor elektrik 100 kW dan enjin petrol 1.5 liter NA.
Keseluruhan sistem menghasilkan 215 PS dan 465 Nm, dengan kuasa dihantar melalui transmisi Hybrid tiga kelajuan. Sistem tersebut turut membolehkan pemanduan dalam mod EV pada kelajuan sehingga 80 km/j dalam keadaan yang sesuai.
MG ZS Hybrid+ mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.7 saat, selain menawarkan penggunaan bahan api serendah 4.7 liter/100 km dan jarak perjalanan sehingga 870 km dengan tangki bahan api 41 liter.

MG ZS Front Cabin
Dari segi reka bentuk, MG ZS menampilkan gaya yang lebih sporty dengan bahagian hadapan yang menampilkan lampu Connected Hunter Eyes, kemasan gril hitam, bentuk badan aerodinamik, lampu belakang LED dan rim aloi.

MG ZS LED Front

MG ZS Taillight
Dengan panjang 4,430 mm dan lebar 1,818 mm, MG mendakwa ZS sebagai SUV B-segmen terbesar dalam kelasnya.
Ruang but pula berkapasiti 443 liter, dan boleh ditingkatkan sehingga 1,457 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Di dalam kabin, MG ZS dilengkapi bumbung panoramik, skrin infotainmen terapung 12.3 inci serta meter digital penuh 12.3 inci.

MG ZS Interior
Dari aspek keselamatan, semua model MG dilengkapi teknologi MG PILOT Driver Safety Technology, yang merangkumi pelbagai ciri bantuan pemanduan ADAS 2.5 seperti Intelligent Cruise Assist (ICA) dan Driver Fatigue Monitoring System (DFMS).
MG ZS turut dilengkapi MG iSMART, yang membolehkan pemilik mengakses serta mengawal beberapa fungsi kenderaan menerusi telefon pintar, termasuk fungsi kemasukan tanpa kunci.
Untuk pilihan warna, MG ZS ditawarkan dalam empat warna iaitu Flare Red, Silver, Andes Grey dan York White, dengan kemasan dalaman serba hitam serta tempat duduk perforated leatherette.

MG ZS Infotaintment
Tempahan awal bagi kedua-dua varian kini dibuka menerusi laman rasmi MG Malaysia.
Selain itu, orang ramai boleh melihat MG ZS Hybrid+ secara fizikal di Nexus Bangsar South dari 19 hingga 23 Oktober 2026, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Dengan pilihan enjin turbo petrol dan sistem hybrid, harga anggaran RM105,000 hingga RM115,000 serta pemasangan tempatan, MG ZS bakal menjadi antara model baharu yang menarik perhatian dalam segmen SUV kompak apabila dilancarkan secara rasmi pada penghujung Oktober ini.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?