SAIC Motor Malaysia Sdn Bhd telah melancarkan sebuah model SUV segmen-B baharu iaitu MG ZS EV dan mengumumkan harga rasmi pada hari ini di MITEC, Kuala Lumpur.
Dengan kuasa 176 Ps dan 280 Nm tork, MG ZS EV ini didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal. Ini sudah cukup untuk menggerakkan kereta ini ke 100 km/j dalam masa 8.0 saat dan kelajuan maksimum adalah sebanyak 170 km/j. Ia membolehkan SUV ini bergerak sejauh 320 km dalam kitaran WLTP.
Untuk jarak sejauh 320 km boleh dicapai dengan bateri lithium-ion berkapasiti 51.1 kWj dan tidak perlu risau tentang pengecasan bateri kerana model ini boleh mencapai pengecasan 10-80 peratus dalam masa 54 minit sekiranya menggunakan pengecas pantas DC 50 kW.
Beralih kepada rekaan luaran, masih tiada gril hadapan dan tempat pengecasannya masih berada di bahagian kanan hadapan, sama seperti model terdahulu. Ia juga diberikan lampu utama ‘Silverstone’ Projector LED dengan lampu nyalaan siang (DRL), lampu isyarat sisi LED dan roda aloi lima-jejari 17-inci dengan kemasan perak.
Selain itu, ia menampilkan rel bumbung rona perak, bumbung suria panoramik yang dikatakan terbesar dalam kelasnya (berukuran 1,365 mm panjang dan 870 mm lebar) serta lampu belakang ‘Phantom’ LED yang direka semula.
MG ZS EV ini turut dilengkapi dengan paparan skrin sesentuh baharu bersaiz 10.25-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, paparan pelbagai-informasi tujuh-inci, rotary gear selector, pengecas tanpa wayar dan pendingin hawa automatik bersama corong untuk penumpang belakang.
Bagi sistem keselamatan pula, ia dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu MG Pilot, yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), AEB (dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal), Kawalan kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kesesakan Trafik (TJA), Amaran ketibaan Lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Pengesan Titik Buta (BSD), Bantuan Menukar Lorong (LCA), Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA) dan Bantuan Lampu Tinggi Pintar.
SUV elektrik ini berukuran 4,323 mm panjang, 1,809 mm lebar dan 1,649 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,585 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 448 liter dan meningkat hingga 1,187 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Ia ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Monument Silver, Black Pearl, Artic White dan Dynamic Red dengan harga RM125,999 (on-the-road tanpa insurans). Pemilik akan menerima pakej waranti yang menyeluruh termasuk waranti kenderaan 7 tahun/150,000 km dan jaminan bateri hebat selama 8 tahun/180,000 km.