Sebuah SUV segmen baharu akan diperkenalkan tidak lama lagi oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan ini disokong lagi dengan sekeping gambar dari rakan media kami, Paultan, yang menangkap Xforce di atas jalan raya di Malaysia baru-baru ini. Sejak penjualan ASX dihentikan beberapa tahun dulu oleh MMM, model ini dijangka akan menggantikan ruang kosong yang ditinggalkan tersebut.
Kredit Imej : Paultan
Walaupun penuh dengan pelekat samaran, setelah dilihat dan dikaji ia menunjukkan ciri-ciri model Xforce. Melalui ciri-ciri yang unik bagi model tersebut seperti lekuk pada panel di atas lengkung roda belakang dan bentuk T pada lampu belakang. Turut dapat dilihat adalah rim 18 inci 2 tona yang menunjukkan ini adalah model varian paling tinggi.
Xforce ini berukuran 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi sekaligus menunjukkan ia mempunyai saiz dalam segmen-B bagi SUV. Dengan kapasiti enjin 1.5 liter, Xforce ini mampu menghasilkan 141 Nm pada 4000 rpm. Manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 105 Ps pada 6000 rpm. Transmisi adalah unit CVT dan ia menggunakan pacuan dua roda hadapan.
Walaupun begitu, Mitsubishi memberitahu bahawa Xforce ini hadir dengan teknologi kawalan empat roda yang pertama untuk sebuah Mitsubishi yang hanya menggunakan pacuan dua roda. Pemandu boleh memilih di antara 4 mod pemanduan yang sesuai dengan situasi iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud.
Namun begitu, kami menjangkakan MMM akan melancarkan Triton baru dan Xpander Facelift terlebih dahulu, barulah Xforce yang berkemungkinan akan dilancarkan pada hujung tahun ini.
Sumber : Paultan