Sedikit peningkatan untuk Kia Carnival bagi model tahun 2024 telah diumumkan oleh anak syarikat kepada Bermaz Auto, Dinamikjaya Motors. Walau bagaimanapun, seperti yang telah didedahkan di peringkat global pada Oktober lalu, ini bukanlah versi facelift bagi MPV generasi ke-empat ini. Kami menjangkakan ia mungkin versi pre-facelift untuk model ini.
Berbanding empat varian sebelum ini, kali ini ia telah disemak semula menjadi kepada tiga varian sahaja dan masih kekal sebagai kenderaan pemasangan tempatan (CKD). Varian yang pertama ialah 2.2D 11-seater dengan harga atas jalan RM198,500 tanpa insurans, diikuti dengan 2.2D 8-seater High berharga RM245,888 dan seterusnya 2.2D 7-seater High berharga RM259,888.
Model ini juga kali ini hanya didatangkan dengan 4 pilihan warna sahaja iaitu Astra Blue, Meteor Gray, Jet Black dan Snowflake White Pearl dengan warna Sonic Silver digugurkan. Waranti 5 tahun atau 100,000 km dan pakej servis bakal diberi bagi setiap pembelian.
Apa yang baru pada model kali ini kita dapat lihat pada varian 2.2D 8-seater High dan 2.2D 7-seater High di mana kedua-duanya ditampilkan dengan roda aloi hitam 19-inci baharu, menggantikan unit 18-inci terdahulu. Di ruang kabin dalamannya juga diberikan sedikit peningkatan iaitu ia didatangkan dengan upholstery tempat duduk kulit kelabu dan hitam.
Selain itu, sistem Blind-Spot View Monitor (BVM) baharu juga diterima bagi kedua-dua varian High ini di mana ia menunjukkan rakaman video dari kamera yang dipasang pada cermin sisi dan merupakan sistem pemantauan titik buta ciptaan Kia.
Dari segi enjin, ia masih kekal sama iaitu didatangkan dengan kapasiti enjin Smartstream 2.2 liter turbodiesel dan mampu menghasilkan 440 Nm. Manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 202 Ps, yang dipadankan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan yang dipacu ke roda hadapan.
Apa yang membezakan varian High adalah jumlah tempat duduk. Dengan 2 kerusi kapten “Premium Relaxion” di barisan kedua, ia memiliki bentangan 2-2-3 bagi 7 tempat duduk manakala bentangan 2-3-3 bagi 8 tempat duduk.
Ciri kelengkapan standard termasuklah dwi lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, dwi bumbung suria kuasa, penderia hadapan dan belakang, kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci, kawalan suhu tiga-zon (dwi-zon di hadapan, zon tunggal di belakang), tirai suria untuk barisan kedua dan ketiga, larasan kuasa dengan fungsi pemanas dan ventilasi untuk tempat duduk pemandu, sistem bunyi Bose 12-pembesar suara, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay serta pad pengecas tanpa wayar.
Sistem BVM yang kini diberikan untuk Carnival 2024 turut menyertai sistem bantuan pemandu sedia ada, termasuklah High Beam Assist, Blind-Spot Collision Warning, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning, Forward Collision-Avoidance Assist (AEB) dengan sokongan belok simpang, Lane Following Assist dan Smart Cruise Control (ACC).
Sumber : Paultan