Sempena perayaan Tahun Baru Cina pada hujung minggu ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengumumkan pengurangan had laju dilaksanakan di semua Jalan Persekutuan di Malaysia bermula pada hari ini, 8 Februari sehingga 13 Februari 2024. Sepanjang tempoh yang dinyatakan, had laju telah dikurangkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j.
Menurut KKR lagi, pewartaan pengurangan had laju sementara itu ditetapkan sepanjang Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang dilaksanakan dalam tempoh berkenaan. Hal ini kerana kemalangan jalan raya yang kerap berlaku ketika musim perayaan dan kerajaan telah mengambil langkah ini sebagai langkah keselamatan dan pemantauan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
“Turut dimaklumkan, kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal dihentikan supaya tidak mengganggu aliran trafik sepanjang tarikh operasi, kecuali kerja kecemasan.
“Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR untuk semua pihak bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan, terutama di Jalan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.