Dalam masa terdekat ini, Proton bakal perkenalkan kereta elektrik sendiri dan ini selari dengan apa yang pernah dinyatakan oleh Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar ketika pelancaran Proton S70 November tahun lalu.
Dalam satu majlis bersama media sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini, CEO Proton, Dr. Li Chunrong, telah berkongsi yang Proton bukan sahaja akan memperkenalkan sebuah EV, tetapi sebaliknya ada dua model EV. Tambah beliau lagi, dalam tempoh antara 6 hingga 8 bulan selepas EV pertama diperkenalkan, barulah EV kedua bakal tiba. Namun, sehingga kini tiada perincian lanjut telah didedahkan oleh syarikat itu.
Di dalam parlimen sebelum ini juga, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong, telah menyasarkan bahawa Proton mampu mengeluarkan EV pertama menjelang 2025 nanti. Sebelum ini, Proton pernah mencuba pembangunan EV sebelum ini dengan menggunakan Iriz sebagai prototaip, lapan tahun lalu.
Namun projek berkenaan tidak pernah menjadi kenyataan. Dengan sasaran EV menjelang 2025 untuk Proton seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, masih menjadi tanda tanya tentang model EV yang mana akan dikeluarkan oleh Proton, memandangkan jangka masa yang ada agak singkat.
Adakah ia akan menjadi versi EV bagi model sedia ada ketika ini, atau adakah ia sebuah model yang akan menggunakan model yang sudah dihasilkan Geely?
Sumber : Paultan