Proton dilihat telah mula menguji versi facelift untuk 2 model SUV sedia adanya iaitu Proton X50 dan juga Proton X70 pada hujung tahun lalu. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh CEO syarikat Proton, Dr. Li Chunrong, bahawa kedua-dua model facelift bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Sebahagian dari strategi Proton untuk kembali menghasilkan keuntungan adalah melalui penjualan 4 model Proton yang diasaskan dari model Geely iaitu X50, X70, X90 dan S70, menurut Dr. Li. Semua model berikut telah berjaya dilancarkan dan kini, Proton dalam fasa bagi mengekalkan pertumbuhannya.
Oleh itu, kita bakal dapat lihat 2 model awal yang telah dilancarkan pada 2018 dan 2020 untuk versi facelift iaitu X70 dan X50 tidak lama lagi. Bagi X70 facelift, unit prototaip yang diuji menampilkan bahagian muka hadapan yang lain sepenuhnya, dilengkapi dengan lampu hadapan lebih nipis, bonet hadapan yang lebih memukau dan juga kemasan liang udara yang sepertinya dilebarkan lagi.
Kredit Imej : Paultan
Kesemua ciri-ciri terbaharu ini seakan-akan seiras dengan kembarnya iaitu Geely Boyue Facelift 2022. Walau bagaimanapun, kita masih akan dapat melihat rekaan asli dari Proton melalui bahagian gril yang bercorak pin krom yang diinspirasikan dari corak kain songket warisan melayu. Selain itu, emblem X70 juga sudah dilekatkan pada pintu tailgate serta pembaharuan pada rekaan kemasan diffuser di bawah bampar.
Bagi model X50 pula, unit prototaip yang telah diuji pada tahun lalu menunjukkan ia bakal menerima rupa yang sama dengan Geely Binyue versi facelift atau dikenali sebagai Binyue Cool di China. Melalui bayangan digital Proton X50 facelift yang telah direka oleh sahabat kami, Theophilus Chin, lampu utama baharu yang lebih nipis dan tajam, berserta gril hadapan dan gril bampar dengan elemen mesh yang seakan-akan huruf ‘X’ seperti model-model Lexus.
Rekaan lampu belakang juga menunjukkan perubahan yang ketara di mana lebih nipis dan kini merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang dengan nombor plat pendaftaran dialihkan ke bawah. Namun, dijangka X50 facelift bakal dilancarkan lambat lagi iaitu pada suku ketiga atau keempat tahun ini.
Kredit Imej : Theophilus Chin
Sumber : Paultan
Kredit Imej : Paultan, Theophilus Chin / @theottle