Chery Malaysia telah mengumumkan bahawa Chery Omoda E5 bakal tiba di semua bilik pameran Chery di Malaysia bermula dari hujung minggu ini iaitu pada 24 Februari. Tempahan juga sudah mula dibuka bagi sesiapa yang berminat untuk memiliki crossover ini dalam versi elektrik (EV). Harga anggaran bagi Omoda E5 ini dijangka bermula dari RM160,000 dan pelancaran rasmi SUV elektrik ini bakal berlaku pada 6 Mac ini.
Dengan kuasa 201 Hp dan 340 Nm, Chery Omoda E5 ini didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal. Ini sudah cukup untuk menggerakkan kereta ini ke 100 km/j dalam masa 7.6 saat dan kelajuan maksimum adalah sebanyak 170 km/j. Ia membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km.
Untuk jarak sejauh 450 km boleh dicapai dengan bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 61 kWj dan tidak perlu risau tentang pengecasan bateri kerana Chery Omoda 5 ini boleh mencapai pengecasan 30-80 peratus dalam masa 30 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beroperasi menerusi sistem V2L 3.3 kW.
Omoda E5 ini turut dilengkapi dengan paparan instrumen digital dan skrin infotainmen 2K HD sebesar 24.6 inci untuk pengalaman visual yang mendalam dan dikuasakan dengan Qualcomm 8155 system on chip (SoC). Berbanding dengan Omoda 5 versi petrol, reka bentuk luaran Omoda 5 kali ini sedikit berbeza kerana didatangkan dengan boot space yang lebih luas dan beberapa lagi spesifikasi baharu.
Selain itu, untuk memastikan pengalaman memandu yang lebih selamat, Chery Omoda E5 telah berjaya membuktikan ia mampu menghadapi pelbagai rintangan dalam Ujian Merentasi Air dan Ujian Mencengkam Lantai. Bagi pelanggan dan peminat-peminat kenderaan Chery, anda boleh mula berkunjung ke bilik pameran Chery terdekat untuk melihat dan merasai secara terus pengalaman bersama Omoda E5 bermula hujung minggu ini.
Diletakkan anggaran harga sebanyak RM160,000, sudah pasti ia bakal memberi saingan yang sengit kepada BYD Atto 3 yang berharga RM167,800.