Seorang pemilik Proton S70 telah berkongsi pengalamannya dengan khidmat servis selepas jualan Proton selepas kenderaan miliknya terlibat dalam kemalangan beberapa minggu lalu menerusi hantaran yang dibuat di Proton S70 Malaysian Community (MYS70COM) Facebook Group.
Merupakan S70 pertama yang mengalami remuk di bahagian belakang, beliau turut berkongsi bahawa kemalangan terbabit terjadi pada 7 Februari lalu dan telah siap dibaiki dan diserahkan semula pada 21 Februari.
Hanya dengan mengambil masa sekitar 2 minggu sahaja, segala proses pembaikan bahagian belakang sedan berkenaan yang teruk khususnya pada bahagian bampar, kerangka di belakang bampar dan juga penutup but telah berjaya disiapkan dan diuruskan oleh Pusat 4S Proton di Nilai, Negeri Sembilan iaitu Proton LHM One Stop Car Service Centre 4S.
Untuk mengatasi masalah ketersediaan alat ganti dan memperbaiki keseluruhan operasi servis selepas jualannya, Proton telah melancarkan program Proton Operational Excellence (POE) sejak Mac tahun lalu. Rangkaian, lokasi gudang dan stok alat ganti telah diperluaskan lagi di seluruh negara melalui program tersebut.
Segala aduan yang diterima dari pelanggan menerusi program ini juga diambil serius oleh Proton dan sekiranya terdapat aduan yang diabaikan atau tidak berjaya diselesaikan, penalti sebanyak RM1,000 bakal dikenakan kepada pengedar manakala penalti sebanyak RM200 kepada penasihat servis yang terlibat.
Sumber : Paultan