Ambil Bekalan Komponen dari China, Pembekal Komponen Proton Dakwa Terjejas

Menurut laporan New Straits Times, lebih dari 100 vendor komponen automotif Malaysia yang membekalkan komponen kepada jenama automotif nasional, Proton mengalami masalah kewangan yang teruk akibat perbelanjaan operasi yang semakin meningkat disebabkan tempahan yang semakin berkurangan.

Persatuan Vendor Proton (PVA) telah mengambil inisiatif untuk mengharungi situasi berkenaan dengan bertemu Proton dan meminta bantuan yang menghimpit vendor-vendor terjejas. Namun menurut presiden Dewan Perniagaan Besar Fujian Malaysia Datuk Liu Guoquan, Proton tidak menunjukkan kesediaan untuk menangani isu tersebut.

Tambah beliau lagi, banyak pembekal dan vendor yang sedang bergelut dengan masalah kewangan disebabkan oleh tempahan yang semakin berkurangan baru-baru ini. Hal ini kerana kegagalan Proton untuk memenuhi kuantiti pesanan alat ganti yang dijanjikan untuk model X50, X70 dan X90 dan sekaligus telah mengurangkan kuantiti pengeluaran alat ganti dari 30 hingga 50 peratus.

Turut diluahkan oleh pembekal yang tidak mahu mendedahkan namanya, kontrak asal daripada Proton berjanji untuk mendapatkan bekalan alat ganti untuk 1,500 unit X90 sebulan, namun yang diterima hanyalah antara 200 hingga 300 unit sahaja.

Banyak vendor mengalami masalah kewangan disebabkan isu ini dan telah memaksa sesetengah vendor untuk menghentikan terus operasi mereka. Tambah Liu, jika keadaan itu berterusan, ia boleh menyebabkan kejatuhan banyak pembekal, menjejaskan kira-kira 50,000 pekerja di seluruh rantaian industri automotif.

Beliau mengkritik keputusan Proton kerana tidak memilih untuk menggunakan alat ganti pemasangan tempatan (CKD) berharga kompetitif dan sebaliknya mendapatkannya dari China, dengan alasan pembekal dari Malaysia enggan menurunkan harga. Liu menegaskan tindakan sedemikian telah merenggangkan lagi hubungan antara Proton dan persatuan vendor.

Bagi menjawab dakwaan laporan ini, Proton telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi seperti berikut:


KENYATAAN RASMI PROTON

Proton ingin memberikan respon terhadap laporan media baru-baru ini yang mengketengahkan cabaran yang dihadapi oleh vendor berkaitan dengan syarikat.

Di Proton, kami mewujudkan persekitaran perniagaan yang saksama dan saling hormat menghormati antara rakan kongsi kami yang dibina di atas komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap urusan perniagaan yang adil dan teguh.

Untuk mencapai matlamat ini, kami bekerjasama rapat dengan Persatuan Vendor Proton (PVA), wakil rasmi untuk semua 116 vendor Proton, yang kerap mengadakan perbincangan dan inisiatif bersama yang saling memberikan manfaat.

Kami faham terdapat kesukaran yang dihadapi oleh sesetengah vendor dan pintu kami sentiasa terbuka untuk terlibat dalam perbincangan yang saksama dengan semua ahli PVA, kecuali mereka yang tidak dapat memberikan bukti yang jelas mengenai isu yang dihadapi.

Adalah penting untuk menunjukkan Proton mempunyai sejarah dialog terbuka dan membina, dan kami tetap berdedikasi untuk meneruskan pendekatan ini untuk jangka masa panjang.

Kami menyedari kepentingan menyelesaikan perkara ini dengan cepat dengan bekerjasama rapat dengan semua pihak yang terlibat dan menjemput penglibatan melalui saluran rasmi untuk menyelesaikannya pada masa yang sesuai.


 

Sumber : New Straits Times, Paultan

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD