Honda Malaysia hari ini telah mengumumkan strategi perniagaannya untuk tahun 2024 di mana mereka menyasarkan jualan sebanyak 95,000 unit dengan 12.8% perkongsian pasaran. Antara strategi mereka adalah mereka bakal melancarkan 2 model baharu untuk membantu meningkatkan jualan tahunan mereka.
Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Encik Hironobu Yoshimura berkata, “Walaupun mereka menghadapi cabaran pada tahun 2023 untuk mengekalkan kedudukan No.1 dalam Segmen Kenderaan Penumpang Bukan Kebangsaan selama sepuluh tahun berturut-turut, dengan mencapai sasaran jualan sebanyak 80,000 unit, syarikat tetap berjaya.
“Kejayaan ini dikaitkan dengan pengenalan model-model popular seperti WR-V, City dan All-New CR-V, serta penggunaan teknologi e:HEV yang memberikan sumbangan besar kepada jualan hibrid.”
Pada tahun 2024, Honda Malaysia bertujuan untuk mempromosikan lagi teknologi e:HEVnya untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap kecekapan bahan api dan keseronokan pemanduan.
Syarikat merancang untuk meningkatkan momentum jualan melalui pelbagai aktiviti, termasuk meningkatkan usaha prospek, memperluas kempen jualan kolaborasi dan mempromosikan pelan insurans automotifnya yang komprehensif iaitu Honda Insurance Plus (HiP).
Selain itu, Honda Malaysia akan terus menekankan aplikasi HondaTouchnya, bagi pelanggan mengakses dengan mudah kepada maklumat perkhidmatan kenderaan dan kemaskini.
Untuk menangani permintaan yang semakin meningkat dalam pasaran kereta terpakai, Honda Malaysia akan memperluaskan lagi rangkaian Honda Certified Used Car (HCUC) ke seluruh negara, menyediakan platform yang dipercayai oleh pelanggan untuk membeli kereta Honda terpakai. Kempen khas akan dilancarkan untuk meningkatkan kesedaran tentang pengembangan ini, dengan menampilkan aktiviti-aktiviti menarik dan diskaun untuk pelanggan.
Dari segi perkhidmatan selepas jualan, Honda Malaysia akan terus meningkatkan pusat-pusat servisnya untuk menyediakan kemudahan yang maksimum kepada pelanggan.
Secara keseluruhan, strategi perniagaan Honda Malaysia untuk tahun 2024 bertujuan untuk mengekalkan komitmen dalam memberikan produk, jualan, dan perkhidmatan selepas jualan berkualiti tinggi. Syarikat yakin dapat mencapai sasaran jualan dan menanti tahun yang menarik untuk kedua-dua syarikat dan pasaran.