Lotus Cars Malaysia telah mengumumkan dan merasmikan Lotus Store pertamanya yang telah dibuka di Pavillion Damansara Heights. Selepas SUV Hyper EV Lotus Eletre dilancarkan di Malaysia 10 bulan yang lalu dan telah menerima sambutan yang menggalakkan di mana 50 unit telah diserahkan kepada pelanggan dan sejumlah 200 unit lagi dalam proses penghantaran, fasiliti dengan keluasan 173.58 m² ini dibuka.
Lotus Store pertama ini dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam dan berada di dalam pusat membeli-belah Pavillion Damansara Heights di tingkat 1, Lot 1.47.02.
Lotus Store Pavillion Damansara Heights ini bakal mempunyai ruang pameran yang mempamerkan 2 model iaitu Eletre dan kereta sport terakhir Lotus yang menggunakan enjin pembakaran dalam, Lotus Emira. Selain itu, terdapat juga satu ruang khas buat pelanggan di mana mereka boleh menggunakan konfigurator Lotus untuk menghasilkan model-model Lotus mengikut spesifikasi yang mereka mahu sebelum tempahan dibuat.
Antara perincian yang boleh dipilih oleh pelanggan ketika menggunakan konfigurator tersebut termasuk bahagian luaran (trim, warna cat, pilihan rim dan tayar, angkup brek berwarna, brek seramik karbon, dan lencana); bahagian dalaman (tema, material, tali pinggang keledar, stereng dan tatahan karbon); tahap peralatan (cermin sisi, pakej Lotus Dynamic dengan kebolehan pemanduan stereng 4-roda dan bumbung kaca pintar); serta ciri-ciri keselamatan tambahan seperti pakej parkir dan pakej bantuan pemanduan.
Sebuah skrin LED bersolusi tinggi berukuran 8.4 m² di pintu masuk ruang pameran dan ruang khas untuk jualan barangan dan pakaian eksklusif dari Lotus, berserta sebuah ruang santai dan istirahat bakal menyambut pelanggan yang berkunjung ke Lotus Store.
“Era baharu Lotus Cars Malaysia bermula pada 2018 dengan pembukaan pusat servis dan perkhidmatan selepas jualan di Glenmarie, Shah Alam, dan apabila mengambilkira jangka masa yang telah diambil untuk pembukaan Lotus Store, ini jelas menunjukkan bahawa usaha mengembangkan dan memperkenalkan semula jenama ini dilakukan dengan teliti dan berfasa,” kata Pengurus Besar Lotus Cars Malaysia Jack Zaal.
Sumber : Paultan