Chery Malaysia telah mengumumkan bahawa semua pembeli baharu yang memilih Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro bakal mendapat pakej perlindungan baharu iaitu Extra Peace of Mind yang bernilai RM11,600. Pembeli baharu tidak perlu bimbang lagi berkenaan kos servis dalam tempoh 7 tahun pertama pemilikan kedua-dua SUV tersebut.
Penukaran alat ganti ketika servis penyelenggaraan bakal ditanggung dan diberikan sepenuhnya seperti minyak enjin, penapis minyak enjin, cecair penyejuk radiator, bendalir brek, penapis udara, palam pencucuh, sesendal palam buang minyak enjin dan minyak transmisi.
Menurut Chery Malaysia, penjimatan wang sehingga RM2,750 untuk kos servis dalam pemilikan 7 tahun pertama Omoda 5 atau Tiggo 8 Pro jika memilih pakej Extra Peace of Mind ini.
“Dengan membeli Pakej Extra Peace of Mind, pelanggan boleh yakin bahawa mereka tidak akan terjejas oleh peningkatan harga alat ganti dan kos penyelenggaraan dari masa ke semasa. Ini membolehkan mereka merancang perbelanjaan mereka dengan lebih berkesan dan cermat,” kata Chery dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Selain dari kos servis dalam tempoh 7 tahun, waranti enjin selama 10 tahun atau 1 juta km juga turut ditawarkan dalam pakej perlindungan baharu ini.
Walau bagaimanapun, jika anda tidak memilih sebarang tambahan dari Chery Malaysia, perlindungan waranti enjin selama 7 tahun atau 150,000 km bakal diberikan kepada setiap kenderaan baharu yang dijual standard. Dengan hanya tambahan bayaran sebanyak RM2,000, pembeli baharu boleh mendapat pakej waranti enjin selama 10 tahun atau 1 juta km.