Honda City Hatchback 2024 Kini Rasmi Dilancarkan: Harga Bermula dari RM85,900 – RM112,900

Honda Malaysia hari ini secara rasmi telah melancarkan Honda City Hatchback facelift 2024 dan telah mengumumkan harga jualan mereka iaitu bermula dari RM85,900 untuk varian S sehingga RM112,900 bagi varian e:HEV RS. Lima varian telah ditawarkan ke dalam pasaran Malaysia iaitu S, E, V, Petrol RS dan e:HEV RS.

Menurut Pengarah Urusan Honda Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Mr. Hironobu Yoshimura, mereka telah berjaya menjual lebih dari 21,500 unit pada suku pertama 2024 dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Hari ini, kami teruja untuk memperkenalkan Honda City Hatchback baharu. Dengan lebih dari 28,700 unit City Hatchback telah berjaya dijual sejak pelancarannya pada tahun 2021, kami teruja untuk menawarkan varian Petrol RS kepada pelanggan-pelanggan kami.

Bagi varian S, E dan V, ia berukuran 4,350 mm panjang, 1,748 mm lebar dan 1,488 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,600 mm. Bagi varian Petrol RS dan e:HEV RS, panjangnya adalah 4,369 mm panjang.

Bagi penjana kuasanya, e:HEV dilengkapi dengan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama, dengan roda hadapannya dipacukan oleh motor elektrik berkuasa 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 253 Nm tork. Motor elektrik itu dikuasakan oleh bateri lithium-ion yang dicas oleh motor elektrik kedua yang disambungkan ke enjin 1.5 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC empat-silinder Atkinson.

Bagi varian petrol, ia dijana oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan hamburan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT. Paddle Shift kini ditawarkan pada semua varian petrol sebagai Standard.

Model ini telah menerima penambahbaikan dan naik taraf pada bahagian luarnya iaitu palang hitam yang lebih nipis pada sudut atas gril serta bampar baharunya kini didatangkan dengan kemasan lampu kabus yang lebih tajam mengapit jejaring honeycomb pada corong intake dengan tambahan saluran udara. Selain itu, Roda Aloi 16-inci Hitam Berlina Baharu dan Side Sill Garnish baharu meningkatkan lagi rupa sporty kedua-dua varian RS.

Beralih kepada ruang dalam, varian RS kini menerima panel dashboard berwarna merah dan Combi Leather Seat yang dilengkapi dengan jahitan merah yang memukau. Hanya varian RS dan e:HEV RS sahaja yang menerima Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar bersama skrin infotainment bersaiz 8 inci.

Bagi sistem bantuan keselamatan, Honda Sensing akan tersedia untuk semua varian bagi City Hatchback facelift secara standard, termasuk dengan ciri notifikasi ketibaan kereta hadapan. Walau bagaimanapun, varian e:HEV RS akan menerima ciri tambahan low-speed follow untuk fungsi kawalan kelajuan adaptif.

Harga On-The-Road (Tanpa insurans) Honda City Hatchback 2024 bagi kesemua varian dengan cukai jualan dan perkhidmatan ialah:

S : RM85,900

E : RM90,900

V : RM95,900

Petrol RS : RM100,900

e:HEV RS : RM112,900

Untuk maklumat lanjut mengenai New City Hatchback, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana pengedar sah Honda di seluruh negara atau menghubungi nombor Bebas Tol Honda di 1-800-88-2020 atau melayari www.honda.com.my.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD