passionately driven

Model Kedua dari BAIC, X55 – SUV segmen-C, Anggaran Harga RM120k – RM140k

Beijing Automotive Group (BAIC) kini secara rasmi telah masuk ke dalam pasaran Malaysia dengan memperkenalkan dua model pertama dari mereka iaitu sebuah SUV off-road, BJ40 Plus dan sebuah SUV segmen-C, X55. Pada artikel ini, kita akan mengenali dengan lebih dekat model X55.

Bakal bersaing dengan beberapa lagi model yang tidak kurang hebatnya seperti Honda CR-V dan Proton X70, model ini berukuran 4,620 mm panjang, 1,886 mm lebar dan 1,680 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,735 mm. Dua varian bakal ditawarkan untuk jualan ke pasaran Malaysia iaitu Standard dan Premium.

Model ini didatangkan dengan enjin petrol 1.5 liter turbocas empat silinder yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar basah tujuh-kelajuan dan mampu menjana kuasa 188 Ps dan 305 Nm tork. Pecutan o-100 km/j didakwa dalam masa 7.8 saat dan kadar penggunaan minyak adalah 7.2 liter bagi 100 km (kitaran WLTP).

Beralih kepada rekaan luaran, model ini hadir dengan DRL LED yang nipis dan tajam, rekaan bampar dengan corak hexagon, kedudukan lampu LED yang lebih rendah, spoiler terpisah di bahagian belakang, empat muncung ekzos, skim dua tona warna badan sebagai pilihan serta pemegang pintu yang tersembunyi.

Beralih pula kepada rekaan dalaman, varian Standard didatangkan dengan kemasan balutan kulit buatan manakala varian Premium didatangkan dengan kulit sebenar dengan fungsi memori untuk kerusinya, bersama dengan ciri pemanas. Selain itu, paparan 10-inci berkembar untuk kluster instrumen dan infotainment, kawalan pendingin dua-zon, pengecas tanpa wayar Qi serta fungsi Bluetooth dengan enam-pembesar suara.

Kelengkapan standard yang lain termasuk butang push start, bumbung panoramik, cermin pandang belakang anti-silau, corong pendingin belakang, kamera undur, pintu ruang barangan belakang kuasa elektirk dan enam beg udara. Hanya varian Premium sahaja menerima tambahan ambient light 10 warna.

Logo ‘Beijing’ masih kelihatan pada unit pra-produksi ini namun difahamkan akan digantikan kepada logo ‘BAIC’. Perincian bagi sistem bantuan keselamatan juga akan diumumkan oleh BAIC sewaktu pelancaran rasminya kelak.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD