passionately driven

Volkswagen Golf R CKD 2024 Kini Rasmi Dijual di Malaysia: Harga Bermula RM332,990

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini secara rasmi telah menjual model pemasangan tempatan (CKD) bagi Golf R dan mengumumkan harga jualan bermula RM332,990 (on-the-road tanpa insurans) termasuk dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi penyelengaraan, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

Sebelum ini, versi CBU bagi model Golf R ini telah dijual pada harga RM356,412 (on-the-road tanpa insurans) dan kini, ia tampil dengan beberapa kemas kini yang lebih baik.

Golf R CKD 2024 kini dilengkapi dengan pakej R Performance secara standard di mana ia merangkumi set ekzos titanium Akrapovic yang tujuh kilogram lebih ringan berbanding ekzos biasa, bersama tambahan mod pemanduan Drift dan Special, spoiler belakang khas serta rim Estoril 19 inci.

Dua mod boleh diakses melalui butang “R” pada stereng untuk pengalaman pemanduan yang mengujakan. Bagi mod Drift, kuasa akan dihantar lebih kepada roda belakang untuk membantu pemandu membuat aksi drift manakala mod Special untuk pemanduan lebih pantas dengan memberikan lebih kuasa cengkaman.

Model ini didatangkan dengan enjin turbo 4 silinder 2.0 TSI yang mampu menjana kuasa sehingga 320 Ps dan 400 Nm tork. Digandingkan bersama transmisi klac basah 7-kelajuan DSG, pecutan dari 0-100 km/j hanya dalam masa 4.8 saat dan kelajuan maksimum pada 250 km/j.

Ciri-ciri baharu yang lain dapat dilihat pada bahagian dalaman Golf R iaitu ia kini dilengkapi dengan paparan head-up, pengecas telefon tanpa wayar serta lampu tinggi automatik.

Bagi sistem bantuan keselamatan pula, Golf R kini disokong oleh teknologi IQ.Drive seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Side Assist, Front Assist, Lane Assist dan Emergency Assist. Tiga warna telah disahkan untuk pasaran Malaysia iaitu Lapiz Blue, Deep Black dan Pure White.

“Memasang hatchback berprestasi tinggi seperti ini secara tempatan sememangnya satu pencapaian besar buat kami. Tambahan pula, kami sungguh gembira dapat memperkenalkan model yang mencatat sejarah ini pada harga yang sangat kompetitif. Stok adalah terhad, jadi saya sarankan supaya para peminat untuk membuat tempahan pada hari ini!” kata Pengarah Urusan VPCM, Denyu Bostandzhiev.

Orang ramai yang berminat untuk melihat dan merasai sendiri Golf R CKD 2024 ini boleh berkunjung ke Malaysia Autoshow 2024 di MAEPS, Serdang bermula 22 Mei hingga 26 Mei dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Selain model ini, Touareg 3.0TSI V6 R-Line 4MOTION baharu dan Arteon 2.0TSI R-Line 4MOTION turut bakal dipamerkan di ruang pameran Volkswagen.

VPCM turut menawarkan promosi istimewa kepada semua pelanggan yang hadir ke Malaysia Autoshow 2024 iaitu penjimatan sehingga RM36,000 dan pakej percutian mewah untuk 2 orang ke The Banjaran Hotsprings Retreat di Ipoh, Perak kepada pelanggan yang melakukan tempahan mana-mana model ketika Malaysia Autoshow 2024. Promosi ini juga ditawarkan ke seluruh negara sehingga 31 Mei 2024.

Mereka yang membeli Arteon juga akan menikmati penyelenggaraan percuma selama tujuh tahun.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD