Malaysia Autoshow 2024 telah dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz di MAEPS, Serdang.
Memetik dari ucapan beliau, kerajaan kini sedang bertungkus-lumus untuk membawa Malaysia kepada sebuah negara yang maju dalam perindustrian dan teknologi. Ini adalah seperti yang digariskan dalam NIMP 2030 dan NAP 2020 iaitu mempromosikan Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV).
“Pameran Autoshow pada tahun ini mempamerkan lebih dari 200 jenama dan lebih dari 500 buah model. Terdapat juga peningkatan dalam jumlah model EV. Pada MITI, ini adalah satu pencapaian yang baik dan ini jelas menunjukkan sektor automotif yang sedang berkembang dengan pesat,” katanya.
Selain mempamerkan barisan jenama kereta di Malaysia, MAS 2024 juga menekankan kepentingan melestarikan alam sekitar dalam industri automotif dengan mempamerkan kenderaan eco-friendly dan energy-efficient.
Malaysia Autoshow 2024 kini dikenali sebagai Autoshow Antarabangsa terbesar oleh Malaysia Book of Record dan akan mempamerkan siri kenderaan yang menarik, pelbagai aktiviti yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat yang hadir.
Pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan seperti 45 pelancaran kereta dan motosikal, pandu uji, laluan off-road untuk kenderaan 4×4 dan pelbagai lagi. Orang ramai yang berminat untuk berkunjung ke Malaysia Autoshow 2024 boleh layari www.autoshow.my atau ikuti akaun media sosial MAS2024 di semua platform untuk pembelian tiket.