WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA), sebuah anak syarikat sepenuhnya oleh Warisan TC Holdings Bhd, secara rasmi hari ini telah melancarkan Aion Y Plus ke dalam pasaran Malaysia di Malaysia Autoshow 2024. Dua varian telah ditawarkan bagi model ini iaitu Elite dan Premium.
Model ini berukuran 4,535 mm panjang, 1,870 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,750 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 405 liter dan meningkat hingga 1,200 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Aion Y Plus ini dikuasakan oleh bateri Magazine GAC Aion sendiri, yang menggunakan Magazine Battery Safety Technology yang sehingga kini masih belum pernah merekodkan sebarang letupan atau kebakaran, menjadikan ia teknologi bateri paling selamat di dunia ketika ini, dengan menetapkan standard baru bagi prestasi keselamatan dalam EV.
Ia didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 225 Nm manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 204 Ps. Untuk jarak sejauh 490 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 63.2 kWh dengan sekali pengecasan. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 8.5 saat.
Rekaan luarannya didatangkan dengan rekaan lampu utama yang unik iaitu Angel’s Wing dengan 7 jalur lampu melintang, mencipta penampilan yang elegan dan tersendiri di atas jalan raya. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan lampu LED skyline through-type, bumbung panoramik, electric hidden door handle dan roof rails.
Memasuki ruang dalam, SUV EV ini didatangkan dengan ruang kabin yang sangat luas dan lebar, menampilkan 32 warna ambient light, skrin infotainment bersaiz 14.6 inci yang boleh menyambung Apple CarPlay dan Android Auto (wayar), 360 darjah sistem kamera dan parking brek elektronik dengan autohold bagi kedua-dua varian. Bagi varian Premium pula, kerusi pemandu dilengkapi dengan ventilasi dan Qi Wireless Charging Pad.
Bagi sistem keselamatan pula, hanya varian Premium yang menerima Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang merangkumi Adaptive Cruise Control (ACC), Automatic Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning (FCW), Traffic Jam Assist, Lane Departure Warning (LDW), Lane-Keeping Assist (LKA) dan Intelligent Cruise Assist (ICA).
Aion Y Plus bakal ditawarkan dengan 7 pilihan warna iaitu dari Glamour Black hingga Youthful Green. Ia boleh didapati dalam varian Elite dan Premium, bermula daripada RM119,800 dan RM135,800 (on-the-road tanpa insurans).
Menariknya, waranti bagi kenderaan adalah 8 tahun atau 160,000 km manakala waranti bagi bateri, motor dan electric control adalah 8 tahun atau 200,000 km. Sempena Malaysia Autoshow 2024, 200 tempahan pertama untuk model ini akan menerima 7 kW Home Wallbox Charger bernilai RM3,500 dan percuma kredit pengecasan JomCharge bernilai RM1,000.
Para pelanggan yang berminat boleh berkunjung ke Malaysia Autoshow 2024 di MAEPS, Serdang pada 22 Mei hingga 26 Mei ini untuk lihat dan pandu uji sendiri model terbaharu dari GAC iaitu Aion Y Plus atau layari laman web rasmi GAC Motor Malaysia di https://gacmotor.com.my untuk maklumat lanjut.