Konsep Proton S70 R3 Didedahkan di Malaysia Autoshow 2024 – Masih dalam Pembangunan untuk S1K

Syarikat kereta nasional, Proton, telah mendedahkan konsep kereta lumba Proton S70 R3 yang dibangunkan oleh R3 Motorsports ketika Malaysia Autoshow 2024 yang telah diadakan di MAEPS, Serdang. Sejak Proton Saga R3 digunakan dalam perlumbaan Sepang 1000 km (S1K) pada tahun 2019, kali ini Proton kembali buat pertama kalinya dengan menggunakan model sedan segmen-C mereka iaitu, S70 ke dalam perlumbaan tersebut.

Menurut Proton, apa yang didedahkan oleh mereka ketika Malaysia Autoshow 2024 hanyalah sekadar konsep kerana kereta lumba ini masih lagi dalam fasa pembangunan. Berdasarkan tinjauan kami, bahagian dalaman masih lagi berada dalam keadaan standard di mana kesemua cermin tingkap telah digelapkan untuk menyembunyikan bahagian dalaman dari orang ramai.

Selain itu, jelas kelihatan grafik badan Proton R3 yang terdiri daripada warna perak, kuning dan hitam iaitu hampir sama dengan kereta lumba yang digunakan pada tahun 2012 di dalam perlumbaan S1K menggunakan model Proton Preve. Kit badan yang digunakan masih sama seperti yang ditawarkan untuk jualan orang ramai tetapi telah digantikan dengan spoiler rekaan R3 yang lebih besar dan sporty.

Perincian penuh teknikal bagi S70 R3 ini masih belum didedahkan lagi oleh Proton namun dijangka akan menggunakan enjin asal iaitu 1.5 liter tiga silinder GEP3 dari model produksi yang akan diubah suai menyeluruh menggunakan komponen dalam perlumbaan yang sebenar dan mampu meningkat sehingga 1.6 liter. 

Proton juga telah mengumumkan akan tampil dengan dua buah kereta lumba Proton S70 R3 di dalam perlumbaan S1K nanti dan akan memperkenalkan versi jalan raya untuk S70 R3 selepas ia beraksi di dalam perlumbaan S1K pada awal tahun hadapan.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD