Syarikat pengeluar kereta nasional, Proton, telah mengumumkan jumlah jualan bagi model X50 2024 yang mereka baru lancarkan pada 4 Jun yang lalu. Setelah sebulan lebih dilancarkan, Proton dengan bangganya mengumumkan sebanyak 8,000 unit berjaya dicatat dengan sambutan yang sangat menggalakkan dari pelanggan.
Sejak pelancaran pertama model ini pada tahun 2020, X50 adalah model SUV paling laris dan popular di Malaysia dengan jumlah jualan terkumpul kini mencapai sebanyak 115,262 unit setakat Jun 2024.
Menurut Proton, sambutan yang menggalakkan ini adalah jauh berbeza dengan jangkaan mereka dan mereka menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran bagi mempercepatkan jadual penghantaran kepada pelanggan yang membuat tempahan menjelang Ogos ini.
Tidak dilupakan, Proton turut menawarkan pakej diskaun sehingga RM14,500 untuk 5,000 unit pembeli terawal di mana ia terdiri daripada diskaun sebanyak RM7,000, RM1,500 trade-in kereta (RM1,000 untuk kenderaan selain Proton) bersama dengan ciri tambahan berbaloi bernilai RM6,000.
“Kami sangat teruja untuk melihat nombor tempahan yang luar biasa pada bulan pertama sahaja. Ini telah menunjukkan daya tarikan kukuh Proton X50 2024. Ini mengesahkan komitmen kami untuk menyampaikan nilai dan kualiti yang cemerlang kepada pelanggan kami.
“Kami memahami keterujaan dan jangkaan mengenai Proton X50 2024 dan kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kami sedang melakukan segala yang mungkin untuk memenuhi jangkaan mereka,” kata Roslan Abdullah, CEO Proton Edar.