Lotus Cars Malaysia telah melancarkan sebuah kenderaan elektrik (EV) Hyper-GT terbaru mereka iaitu Lotus Emeya ke dalam pasaran Malaysia dan mengumumkan harga rasmi di ruang pameran perdana mereka, Lotus Kuala Lumpur. Tiga varian telah ditawarkan ke dalam pasaran Malaysia iaitu Emeya yang harga bermula dari RM555,000, Emeya S pada RM643,000 dan Emeya R pada RM777,000.
Model ini berukuran 5,139 mm panjang, 2,241 mm lebar, 1,459 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,069 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 509 liter dan meningkat hingga 1,388 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

Lotus Emeya ini dilengkapi dengan pacuan empat roda bersama sistem Lotus ICC intelligent torque distribution dan dikuasakan oleh dua motor elektrik yang mampu menghasilkan 603 HP dan 710 Nm tork untuk varian Emeya dan Emeya S manakala varian Emeya R mampu menghasilkan 905 HP dan 985 Nm tork.
Semua varian dibekalkan dengan pek bateri berkapasiti 102 kWh dan mampu mencapai jarak sejauh 610 km untuk Emeya, 540 km untuk Emeya S dan 435 km untuk Emeya R dengan sekali pengecasan. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 4.2 saat bagi Emeya dan Emeya S manakala 2.8 saat bagi Emeya R. Kelajuan maksimum Emeya dan Emeya S adalah 250 km/j manakala Emeya R adalah 256 km/j.
Bagi pengecasannya, model ini boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 350 kW dengan status pengecasan 10% hingga 80% mengambil masa 18 minit.
Memasuki ruang dalam, EV ini menggunakan bahan yang berkualiti tinggi dan tahan lasak. Antaranya ialah penghasilan dan penggunaan benang premium yang diperbuat dari fabrik lebihan industri fesyen. Turut digunakan ialah PVD aluimimium, Alcantara, Kulit Nappa dan fabrik ultra PU. Kombinasi penggunaan bahan-bahan ini bagi ruang dalaman Emeya turut memberikan penjimatan dari segi berat keseluruhan kenderaan.

Bagi sistem keselamatan pula, Lotus Emeya mempunyai Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang merangkumi amaran halangan, amaran keluar lorong, amaran pelanggaran depan dan sistem pemantauan titik buta. Maklumat-maklumat penting juga boleh diakses oleh pemandu di skrin infotainment berukuran 55 inci.

Lotus Emeya bakal ditawarkan dengan 5 pilihan warna luaran iaitu White, Yellow, Grey, Orange dan Stellar Black. Pemilik akan menerima pakej waranti yang menyeluruh termasuk waranti kenderaan 5 tahun/150,000 km dan waranti bateri EV selama 8 tahun/200,000 km.
Pelanggan yang berminat boleh berkunjung ke ruang pameran perdana mereka yang baru dibuka di Lotus Kuala Lumpur untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman bersama dengan model-model Lotus lain yang turut dipamerkan iaitu sportscar Emira Turbo dan Hyper-SUV Lotus Eletre.
. 
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?