Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, MOT Sedia Bantu Kerajaan Pahang

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjelaskan bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) sedia membantu kerajaan Negeri Pahang untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA).

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sehingga kini pihak MOT tiada menerima sebarang permohonan Lesen Pengendali Aerodrom daripada pemaju projek di mana ia merupakan aspek terpenting yang perlu ada sebelum meneruskan rancangan untuk membina lapangan terbang tersebut.

Hal ini kerana, jika permohonan lesen tersebut telah diterima, barulah kementerian dapat melakukan kajian dari segi lokasinya yang strategik atau pun tidak dan masalah trafik di kawasan tersebut. Ini merupakan sebahagian dari Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP).

“Projek ini ialah Projek Pelaburan Swasta. Ini bukannya projek di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT). Kita boleh memudah cara. Apa yang diperlukan ialah mereka mendapat kelulusan daripada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN).

“Selepas itu, mana-mana syarikat atau pemaju projek tersebut perlu memohon lesen aerodrom daripada MOT. Itu ialah proses biasa yang terpakai kepada semua pihak. Setakat ini, saya difahamkan mereka (pemaju) masih dalam proses memohon lesen tersebut, kalau ada permohonan, tentu kementerian akan proses,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang perkembangan projek pembinaan KIA yang sepatutnya sudah mula dibina pada tahun lepas tetapi masih belum mula lagi kerana dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2026.

Loke juga memahami hasrat kerajaan Pahang untuk membina KIA memandangkan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Syah berada di kawasan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Kerajaan Pahang sudah lama menyatakan hasrat ingin melihat satu lagi lapangan terbang penerbangan awam secara khusus. Ia banyak kekangan sebab berkongsi dengan landasan Tentera Udara.

“Jadi untuk jangka masa panjang, sekiranya dibangunkan satu lapangan terbang khusus untuk penerbangan awam, memanglah satu yang baik dan membawa kemajuan kepada Pahang kerana ia akan menjadi laluan kepada Pantai Timur,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, telah mengumumkan rancangan pembinaan KIA pada Oktober 2021 dan ia telah dipersetujui MPFN dengan kerajaan negeri diminta membuat kajian mendalam berhubung projek itu.

Berikutnya pada 6 Julai 2022, Wan Rosdy mengumumkan KIA bakal menelan kos sebanyak RM2 billion dan akan menjadi sebahagian daripada rancangan pembangunan bercampur bandar aeroangkasa di Gebeng sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Pahang.

 

Sumber : Bernama

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD