Bermaz Xpeng Sdn Bhd, satu-satunya pengedar rasmi jenama Xpeng di Malaysia, telah melancarkan model pertama mereka iaitu Xpeng G6, sebuah SUV coupe ke dalam pasaran Malaysia dan mengumumkan harga rasmi di pusat beli-belah 1 Utama. Dua varian telah ditawarkan ke dalam pasaran Malaysia iaitu 580 Pro yang harga bermula dari RM165,000 dan 755 Pro pada RM185,000.
Model ini berukuran 4,753 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,650 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,890 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 571 liter dan meningkat hingga 1,374 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Bagi varian 580 Pro, ia dikuasakan oleh bateri berkuasa tinggi jenis Lithium Iron Phosphate (LFP) dan mampu menghasilkan 255 Hp dan 440 Nm tork. Jarak sejauh 435 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 66 kWh. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 6.6 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 200 km/j.
Bagi varian 755 Pro, ia dikuasakan oleh bateri berkuasa tinggi Nickel Manganese Cobalt (NMC) dan mampu menghasilkan 282 Hp dan 440 Nm tork. Jarak sejauh 570 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 87.5 kWh. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 6.2 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 200 km/j.
Bagi pengecasannya, jika menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 215 kW untuk varian 580 Pro dan 280 kW untuk varian 755 Pro, ia boleh mencapai status pengecasan 10% hingga 80% dalam masa 20 minit untuk kedua-dua varian.
Untuk rekaan luaran, G6 menampilkan reka bentuk badan yang menarik dengan reka bentuk luaran yang kukuh, anggun, dan bergaya, dengan garis yang bersih dan licin yang menyumbang kepada kecekapan aerodinamiknya. Selain itu, bahagian hadapan dan belakang yang pendek serta pusat graviti yang rendah direka untuk gaya pemanduan yang selesa dan reka bentuk bumbung yang tergantung menawarkan ruang dalaman yang luas dan selesa.
Memasuki ruang dalam, SUV EV ini didatangkan dengan skrin bersaiz 14.96 inci dengan resolusi tinggi beserta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay dan sambungan telefon pintar. Selain itu, ciri bantuan suara, 18 speaker XOpera, XFreeBreath untuk membersihkan udara di dalam kereta, bumbung panoramik dan pengecasan telefon tanpa wayar turut lengkap pada model ini.
Bagi sistem keselamatan pula, kedua-dua varian menerima ciri XPILOT 2.5 yang merangkumi 7 beg udara, electronic child lock, kamera HD 360 darjah, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Centering Control (LCC), Active Lane Change (ALC), Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0), Auto Exit Parking Assist (AEP), Autonomous Emergency Braking (AEB) dan banyak lagi sistem keselamatan lain.
Xpeng G6 bakal diimport (CBU) dari China dan ditawarkan dengan 5 pilihan warna luaran iaitu Midnight Black, Silver Frost, Artic White, Graphite Gray dan Fiery Orange, dengan dua pilihan warna dalaman iaitu hitam dan kelabu
Waranti standard lima-tahun/120,000 km untuk kereta dan jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk bateri akan diberikan kepada pelanggan yang membuat tempahan Xpeng G6 ini.