GWM Malaysia telah mengumumkan bahawa proses pemasangan tempatan (CKD) untuk model GWM Haval H6 HEV telah pun bermula dan akan dilancarkan tak lama lagi ke dalam pasaran Malaysia. Selain itu, unit pertama juga sudah keluar dari barisan pemasangan berkenaan.
Proses pemasangan tempatan (CKD) ini dipasang di kilang milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang terletak di Taman Perindustrian Hicom Pagoh, Melaka. Menurut GWM Malaysia lagi, penghantaran pertama akan dibuat kepada pelanggan bermula Oktober ini dengan setiap unit melalui pelbagai pemeriksaan kualiti yang ketat dan ujian keselamatan di atas litar.
Model ini berukuran 4,683 mm panjang, 1,886 mm lebar, 1,730 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,738 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 560 liter dan meningkat hingga 1,485 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Ia didatangkan dengan enjin 1.5 liter turbo hibrid yang mampu menjana kuasa sebanyak 130 PS dan 300 Nm tork manakala jika digandingkan bersama dengan motor elektrik, mampu menjana kuasa sebanyak 243 PS dan 530 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 175 km/j.
Untuk rekaan luaran, perincian standard untuk pasaran Malaysia seperti lampu hadapan LED matrix, gril hadapan ‘Star Matrix’, bumbung panaromik dan rim aloi 19-inci dalam kemasan hitam berkilat.
Beralih kepada bahagian dalaman, ia menerima sistem infotainment bersaiz 12.3 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem pendingin hawa dua-zon, meter kluster bersaiz 10.25 inci, pintu tailgate bantuan kuasa, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi beserta dengan 4 mod pemanduan iaitu Standard, Sport, Eco dan Snow.
Bagi sistem keselamatan pula, model ini dilengkapi dengan sistem ADAS Level 2 seperti Automatic Emergency Brake, Adaptive Cruise Control, Lane Departure Prevention dan banyak lagi. Selain itu, terdapat juga 6 beg udara, kamera 360-darjah dan sistem bantuan parkir.
Hanya satu varian yang akan ditawarkan ke dalam pasaran Malaysia iaitu varian Ultra dengan harga anggaran di bawah RM145,000 dan tempahan telah pun dibuka pada awal bulan ini. Pelanggan yang membuat tempahan dengan wang tempahan sebanyak RM1,000 akan menerima ganjaran istimewa bernilai RM3,000 dan waranti enjin 10 tahun/1 juta km beserta waranti untuk sistem hibrid elektrik 8 tahun/1 juta km.
Tarikh pelancaran rasmi masih belum didedahkan lagi oleh GWM Malaysia. Pelanggan yang berminat untuk membuat tempahan, boleh layari laman web rasmi GWM Malaysia di https://www.gwm.com.my/