Susulan dengan panggilan semula beberapa model di bawah BYD di China, BYD Malaysia telah mengeluarkan kenyataan rasmi dan mengesahkan bahawa tiada model di Malaysia yang terlibat dengan panggilan semula terbabit.
Langkah penjagaan telah diambil di mana ia melibatkan sebanyak 96,714 unit BYD Dolphin dan BYD Yuan Plus (dikenali sebagai Atto 3) dan ianya terhad kepada pasaran China dan tidak melibatkan mana-mana kenderaan yang dieksport ke luar negara.
Berikut adalah kenyataan rasmi dari BYD Malaysia:
Sebagai pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia, Sime Darby Motors ingin meyakinkan pelanggan kami yang dihargai bahawa model BYD yang dijual di Malaysia tidak terjejas oleh pengumuman panggilan semula baru-baru ini oleh BYD di China kerana ia hanya terhad kepada kenderaan yang dijual di pasaran China sahaja.
Pengumuman tersebut menyatakan, “BYD Auto Industry Co., Ltd. dan BYD Automobile Co., Ltd. sedang memanggil semula kenderaan elektrik Dolphin dan Yuan PLUS tertentu yang dihasilkan di dalam negara.”
Kumpulan dan model yang dipanggil semula dalam wilayah tanah besar China tidak berkaitan dengan pasaran di luar wilayah tanah besar China.
Menurut laporan dari CarNewsChina, model-model yang terlibat berisiko untuk terbakar akibat kesalahan ketika memasang electric power steering column. Bagi model pasaran China, kapasitor pada papan litar pengawal mungkin mengalami retakan mikro yang disebabkan oleh penutupan penutup alat peralatan.
Retakan tersebut mungkin membesar apabila kenderaan digunakan, menyebabkan litar pintas, pemanasan berlebihan, dan risiko kebakaran. Pembaikan yang dilakukan adalah sebahagian daripada panggilan semula ini dan melibatkan pemasangan pad penebat pada pengawal tersebut.